Tak wajar desak Siew Ki digantung, keluar Selangor hanya kerana menjalankan fungsi sebagai wakil rakyat – Ramkarpal

KUALA LUMPUR – Kecaman terhadap Adun Seri Kembangan Wong Siew Ki oleh pelbagai pihak susulan cadangannya untuk sistem penternakan babi moden dan tertutup di Selangor sehingga ada menyuruhnya meninggalkan negeri itu adalah tidak wajar.

Bahkan kecaman itu mencerminkan pemahaman yang lemah tentang tugas dan fungsi wakil rakyat yang dipilih dalam dewan undangan negeri, atau Parlimen untuk perkara itu.

Pengerusi Bahagian Perundangan Nasional DAP Ramkarpal Singh berkata, beliau juga perhatikan terdapat juga desakan agar Siew Ki digantung daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) selama sehingga 12 bulan kerana cadangannya itu.

“Tiada salahnya Siew Ki mengemukakan perkara tersebut kerana ia adalah dalam kepentingan awam dan cadangan sedemikian sepatutnya dialu-alukan dan dibahaskan demi mencadangkan alternatif yang mungkin untuk menangani isu tersebut, bukannya mendesaknya untuk dihukum.

“Cadangan Siew Ki seharusnya dibahaskan secara rasional dan dengan cara yang matang di DUN dan desakan untuk dihukum atas perkara tersebut akan mencipta precedent berbahaya dalam membungkam wakil rakyat yang dipilih, terutamanya mengenai perkara-perkara yang berkepentingan awam, yang jelas bertentangan dengan nilai dan prinsip demokrasi.

“Tidak dinafikan, Sultan Selangor telah meminta agar penternakan babi dihentikan di negeri berkenaan, dengan menyebut kesan terhadap alam sekitar dan komposisi demografi Selangor, yang dihormati,” kata Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu dalam kenyataannya.

Kata Ramkarpal lagi, cadangan Siew Ki bagaimanapun, tidak sama sekali menghina perkara ini tetapi sebaliknya, menawarkan penyelesaian alternatif yang konstruktif kepada isu tersebut yang tidak seharusnya ditolak mentah-mentah atas sebab-sebab yang dinyatakan di atas.

“Dalam keadaan ini, saya berpendapat bahawa Siew Ki hanya menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat dan mengutuknya kerana berbuat demikian adalah tidak perlu dan sangat disesali,” kata beliau.

Kelmarin, Pemuda Pas Selangor dan BN Selangor menuduh Adun Seri Kembangan Wong Siew Ki sebagai biadab kerana mempertikaikan titah Sultan Selangor berhubung isu penternakan babi di negeri itu.

Bagi Ketua Pemuda Pas Selangor Mohamed Sukri Omar, Adun DAP itu wajar digantung daripada dewan undangan negeri selama 12 bulan, manakala Ketua Penerangan BN Selangor Datuk Jamal Yunos berkata dia boleh keluar dari Selangor jika tidak mahu akur dengan titah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Kata pengerusi Umno Sungai Besar itu, sebagai wakil rakyat yang telah mengangkat sumpah di DUN Selangor, Wong sepatutnya menjunjung tinggi titah baginda dan bukannya bertindak menyanggah Baginda.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat