Penyokong Sumbang Duit Raya Kepada Pemain Perak FC

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Simpati dengan nasib barisan pemain Perak FC yang dilaporkan tidak dibayar gaji, penyokong skuad itu tampil menghulurkan sedikit sumbangan selepas aksi berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) II di Stadium Perak, Ipoh, semalam.

Sumbangan itu dipercayai disumbangkan penyokong Perak yang hadir ke stadium menyaksikan perlawanan itu dan perkara sama sudah dilakukan pada perlawanan sebelum ini.

Namun, kali ini sumbangan itu dianggap sebagai ‘duit raya’ kepada pemain yang berdepan cabaran besar kerana selain meneruskan aksi tanpa gaji, skuad itu juga kekurangan pemain apabila hanya mempunyai empat pemain simpanan termasuk dua daripadanya adalah penjaga gol.

Menerusi video yang tular di media sosial, sumbangan yang diisi dalam satu bekas plastik itu diserahkan wakil penyokong kepada kapten pasukan, Firdaus Saiyadi selepas perlawanan semalam.

“Duit raya, duit raya. Selamat hari raya semua,” Itu antara perkataan yang diungkapkan penyokong dalam video berkenaan.

Video berkenaan turut mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial atau netizen yang kebanyakan memuji usaha dilakukan penyokong dan pada masa sama bersimpati dengan nasib yang menimpa pemain serta barisan jurulatih skuad The Bos Gaurus.

Perak yang menang sekali dan tewas empat kali musim ini berada di kedudukan tercorot Liga Perdana dengan mengumpul mata negatif enam susulan hukuman Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang memotong sembilan mata keseluruhan pasukan itu kerana isu tunggakan gaji.

Isu itu masih belum selesai dengan badan bebas ‘First Instance Body’ (FIB) masih memberi talian hayat kepada Perak FC apabila meluluskan permohonan pengurusan pasukan itu untuk menyelesaikan rundingan pertukaran pemilikan sehingga 29 April ini.

Sementara itu, ketua jurulatih Perak, Yusri Che Lah tidak menyalahkan pemainnya terhadap kekalahan 1-3 di tangan Johor Darul Ta’zim II (JDT II), semalam.

“Syukur dengan pemain saya yang masih lagi mampu berlari 90 minit, senario yang sukar dan tak semua orang mampu buat sebenarnya. Kita tahu keputusan tidak menyebelahi kita dan corak permainan hari ini tidak seperti perlawanan terdahulu.

“Mungkin keletihan, dan keletihan kita ini banyak sebab, tidak hanya keletihan disebabkan perlawanan yang berterusan, tapi kekuatan mental kita agak sudah goyang, teruk saya nampak hari ini. Mungkin pemain semua sudah tidak mampu untuk mengekalkan seperti mana sebelumnya.

“Terima kasih kepada pemain walaupun dalam keadaan sebegini, mereka masih lagi memberi komitmen yang baik,” katanya. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat