KUALA LUMPUR, – Kemelut perebutan kawalan NexG Bhd didakwa memuncak pada pertengahan Oktober 2025 apabila beberapa pengarah dan pemegang saham utama syarikat itu dikatakan menerima ugutan serius termasuk ancaman keselamatan diri, sekali gus mencetuskan siri peletakan jawatan serta tindakan penguatkuasaan kewangan.
Menurut kronologi yang dikemukakan ahli perniagaan Victor Chin Boon Long, beliau sendiri menerima ancaman secara langsung pada 13 Oktober 2025 dalam satu panggilan telefon daripada pihak yang didakwanya sebagai “mafia korporat”.
Victor mendakwa beliau diberitahu bahawa nyawanya lebih penting daripada syarikat dan diminta melepaskan pegangan serta menghentikan urusan korporat tertentu, termasuk mengarahkan seorang tokoh bergelar Tan Sri meletak jawatan daripada lembaga NexG.
Keesokan harinya, Tan Sri berkenaan dilaporkan meletak jawatan sebagai Pengarah Eksekutif NexG selepas didakwa turut menerima ugutan. Dalam kronologi tersebut, Victor mendakwa satu panggilan dibuat kepada pegawai yang berkaitan dengan siasatan pengubahan wang haram bagi meminta beliau ditangkap, menandakan permulaan penglibatan tindakan penguatkuasaan dalam konflik korporat tersebut.
Pada hari sama, pengurusan NexG dimaklumkan bahawa Victor dan seorang lagi pegawai kanan telah meninggalkan syarikat, manakala pihak yang didakwa sebagai sindiket mafia korporat dilaporkan menyatakan mereka telah mengambil alih kawalan syarikat.
Susulan itu, beberapa pengarah lain termasuk tokoh korporat kanan turut meletak jawatan dalam tempoh singkat, sekali gus mengubah struktur kepimpinan NexG secara drastik.
Tekanan terhadap rangkaian individu yang mempunyai hubungan perniagaan dengan Victor juga dilaporkan meningkat apabila seorang ahli perniagaan serta isterinya direman bagi membantu siasatan. Kronologi itu mendakwa tindakan reman tersebut bertujuan memberi tekanan tambahan bagi memaksa penyerahan pegangan saham.
Dalam tempoh sama, syarikat tujuan khas (SPV) yang memegang blok saham besar NexG seperti Trendtrove dan Skyelimit dilaporkan dipaksa menukar setiausaha syarikat di bawah pengaruh individu tertentu. Langkah itu didakwa membolehkan perubahan pemegang saham dan pengarah dilakukan tanpa persetujuan pemilik asal.
Victor turut mendakwa beberapa akaun bank syarikat berkaitan dibekukan tanpa notis rasmi sekitar 17 Oktober 2025, menyebabkan operasi syarikat terjejas dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan kakitangan.
Pada 22 Oktober 2025, pegawai yang berkaitan dengan siasatan AMLA dilaporkan hadir ke pejabat syarikat berkaitan NexG, sekali gus meningkatkan tekanan psikologi terhadap pengurusan dan pekerja.
Situasi itu menjadi lebih kompleks apabila ratusan akaun sekuriti pusat (CDS) milik entiti berkaitan dilaporkan dibekukan pada 23 Oktober 2025, melibatkan pegangan saham yang berkait secara langsung dengan struktur kawalan NexG.
Pendedahan ini menimbulkan persoalan mengenai bagaimana konflik korporat dalam syarikat tersenarai boleh berkembang menjadi krisis berprofil tinggi yang melibatkan perubahan lembaga pengarah, tindakan penguatkuasaan kewangan serta dakwaan ugutan keselamatan terhadap individu utama. – SuaraTV



