KUALA LUMPUR, – Kemelut perebutan kawalan NexG Bhd didakwa semakin meruncing apabila tekanan kewangan besar-besaran serta urus niaga saham dalam keadaan luar biasa mula berlaku sekitar hujung Oktober hingga November 2025, menurut kronologi yang dikemukakan ahli perniagaan Victor Chin Boon Long.
Dalam dokumen tersebut, Victor mendakwa beliau diminta menyediakan wang tunai berjumlah RM10 juta oleh seorang Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kononnya berjanji akan membantu menyelesaikan konflik dengan pihak yang didakwanya sebagai “mafia korporat”.
Victor mendakwa beliau berjaya mengumpulkan RM9.5 juta melalui pinjaman termasuk daripada kenalan dan pemberi pinjaman tidak formal, namun masalah yang dihadapi tidak diselesaikan dan wang tersebut tidak disalurkan kepada mana-mana pihak yang dikaitkan dengan perebutan kawalan syarikat.
Pada masa sama, tindakan pembekuan akaun kewangan dilaporkan semakin meluas melibatkan akaun bank dan akaun sekuriti pusat (CDS) milik beberapa syarikat tujuan khas (SPV) yang memegang saham utama NexG, termasuk Velocity Capital dan MOV Capital.
Menurut kronologi itu, pembekuan berkenaan turut menjejaskan akaun peribadi Victor serta ahli keluarganya, selain akaun individu dan syarikat yang mempunyai hubungan perniagaan dengannya.
Situasi menjadi lebih kontroversi apabila kira-kira 150 juta saham NexG didakwa dipindahkan daripada satu entiti pemegang saham kepada entiti lain pada 31 Oktober 2025. Kronologi tersebut menyatakan akaun CDS yang sebelum ini dibekukan telah dibuka sementara bagi membolehkan transaksi tersebut dilaksanakan sebelum dibekukan semula selepas pemindahan selesai.
Victor mendakwa pemilik sebenar saham tidak berniat menjual atau memindahkan pegangan tersebut, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tujuan urus niaga berkenaan serta peranan mekanisme pengawasan dalam transaksi saham syarikat tersenarai.
Dalam tempoh yang sama, beberapa individu yang mempunyai hubungan perniagaan dengan Victor dilaporkan dipanggil memberi keterangan dan direman bagi membantu siasatan, manakala tekanan terus meningkat terhadap pemegang saham utama bagi menghalang mereka daripada menjual pegangan kepada pelabur lain.
Kronologi itu turut menyebut mengenai penglibatan seorang ahli perniagaan yang membantu menyediakan pembiayaan puluhan juta ringgit bagi membolehkan pembelian saham tertentu.
Namun, akaun CDS yang digunakan dalam urus niaga berkenaan turut dilaporkan dibekukan selepas transaksi selesai.
Kemuncak tekanan tersebut berlaku apabila Victor bersama seorang Tan Sri dan seorang lagi pemegang saham utama didakwa dipaksa menandatangani satu perjanjian penyelesaian global pada hujung November 2025.
Perjanjian itu melibatkan persetujuan menjual keseluruhan pegangan saham NexG kepada pihak tertentu dengan janji bahawa pembekuan akaun akan dibuka serta tiada tindakan lanjut penguatkuasaan dikenakan.
Bagaimanapun, menurut Victor, janji tersebut tidak dipenuhi apabila bayaran tidak dibuat dan akaun yang dibekukan terus kekal disekat, sekali gus menyebabkan konflik korporat semakin meruncing dan menjejaskan kedudukan kewangan pihak terlibat.
Pendedahan ini mencetuskan persoalan lebih luas mengenai implikasi pembekuan akaun dan tindakan penguatkuasaan dalam konflik perebutan kawalan syarikat strategik, khususnya yang terlibat dalam projek berkaitan keselamatan identiti negara. – SuaraTV



