KUALA LUMPUR,– Perebutan kawalan ke atas syarikat teknologi keselamatan identiti NexG Bhd didakwa bermula selepas syarikat itu mencatat kebangkitan semula besar susulan penganugerahan kontrak kerajaan bernilai lebih RM2.4 bilion berkaitan pembekalan pasport Malaysia dan kad pengenalan negara.
Menurut dokumen kronologi yang dikemukakan ahli perniagaan Victor Chin Boon Long, syarikat yang sebelum ini dikenali sebagai Datasonic itu sedang melalui proses pemulihan operasi dan penstrukturan semula bagi memperkukuh kedudukan dalam projek berkaitan dokumen identiti negara.
Usaha tersebut termasuk rundingan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kewangan (MOF), penambahbaikan ciri keselamatan serta langkah menstabilkan operasi selepas beberapa tahun bergantung kepada lanjutan kontrak jangka pendek bagi projek MyKad dan pasport.
Situasi berubah pada separuh kedua 2025 apabila NexG menerima dua surat anugerah penting. Pada 29 Ogos 2025, syarikat itu menerima kontrak pembekalan Pasport Antarabangsa Malaysia daripada Jabatan Imigresen bernilai RM1.728 bilion untuk tempoh enam tahun bermula 1 Jun 2026 hingga 31 Mei 2032.
Kemudian pada 3 Oktober 2025, NexG menerima satu lagi kontrak bernilai RM732.72 juta daripada Jabatan Pendaftaran Negara bagi pembekalan kad pengenalan nasional termasuk MyKad, MyTentera dan MyPOCA untuk tempoh sama.
Victor mendakwa nilai strategik kontrak berkaitan infrastruktur identiti negara itu menjadikan NexG sasaran perebutan kawalan oleh pihak tertentu yang digelarnya sebagai “mafia korporat”.
Dalam kronologi tersebut, beliau menegaskan sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan berlaku, beliau telah berlepas ke United Kingdom pada 4 Oktober 2025 untuk melawat keluarga, dengan tiket perjalanan ditempah lebih awal sejak Ogos tahun sama.
Menurut beliau, dakwaan kononnya beliau melarikan diri ke luar negara adalah tidak tepat kerana tekanan dan konflik korporat hanya memuncak selepas beliau berada di luar Malaysia.
Krisis dalaman syarikat dilaporkan mula ketara antara 10 hingga 13 Oktober 2025 apabila Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif NexG, Datuk Haji Hanifah Noordin, menghadiri taklimat analisis bersama Kenanga Investment Bank serta mengadakan lawatan kilang bagi menilai kemasukan pelabur Bumiputera.
Langkah itu selaras dengan keperluan NexG mengekalkan status Bumiputera dalam operasi berkaitan kontrak kerajaan.
Bagaimanapun, Victor mendakwa beliau gagal menghubungi Hanifah selepas 13 Oktober dan kemudian dimaklumkan bahawa eksekutif syarikat itu telah menerima ugutan daripada pihak tertentu yang mengarahkannya memutuskan komunikasi dengan Victor.
Dokumen tersebut turut menyebut bahawa ancaman terhadap pengurusan syarikat berlaku serentak dengan perubahan struktur lembaga dan tekanan terhadap pemegang saham utama, sekali gus mencetuskan kemelut dalaman yang akhirnya membawa kepada tindakan penguatkuasaan kewangan dan siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).
Pendedahan ini menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana perebutan kepentingan strategik dalam syarikat tersenarai yang mengendalikan projek berkaitan keselamatan identiti negara boleh mencetuskan konflik korporat berprofil tinggi. – SuaraTV



