RIYADH, – Sistem pertahanan udara Arab Saudi berjaya memintas satu peluru berpandu balistik yang dilancarkan ke arah ibu negara, Riyadh, manakala satu lagi dilaporkan jatuh di kawasan tidak berpenghuni, menurut Kementerian Pertahanan negara itu.
Dalam kenyataan pada Isnin, kementerian berkenaan turut mengesahkan bahawa sebanyak 14 dron berjaya ditembak jatuh di beberapa wilayah termasuk 13 di Wilayah Timur dan satu di kawasan Sempadan Utara.
Pemintasan pertama bermula pada waktu malam apabila tujuh dron dikesan dan dimusnahkan di ruang udara Wilayah Timur. Beberapa jam kemudian, sebuah lagi dron berjaya dipintas di kawasan Sempadan Utara.
Kementerian memaklumkan, dalam tempoh kira-kira sejam selepas itu, dua lagi dron berjaya dipintas di Wilayah Timur dalam operasi berasingan.
Jurucakap rasmi kementerian, Brigadier Jeneral Turki Al-Maliki, kemudian mengesahkan bahawa dua peluru berpandu balistik telah dilancarkan ke arah Riyadh. Satu daripadanya berjaya dipintas oleh sistem pertahanan udara, manakala satu lagi jatuh di kawasan tidak berpenghuni tanpa menyebabkan kemalangan jiwa.
Dalam tempoh masa yang sama, sebuah lagi dron turut dikesan dan dimusnahkan di Wilayah Timur sebelum kementerian mengesahkan pemintasan tiga dron tambahan menjelang tengah hari di wilayah yang sama.
Pihak berkuasa pertahanan Arab Saudi menegaskan bahawa sistem pertahanan udara negara itu kekal berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi bagi menghadapi sebarang ancaman keselamatan, khususnya susulan ketegangan serantau yang semakin memuncak sejak kebelakangan ini. – Saudi Gazette/ SuaraTV



