KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahimmenyokong kesungguhan Presiden Indonesia Prabowo Subianto untuk berhubung secara langsung dengan pihak Amerika Syarikat (AS) serta Republik Islam Iran bagi mendapatkan persetujuan kepada penghentian pertempuran dengan segera.
Menurut Perdana Menteri, Malaysia akan terus menyokong dan memperkukuh usaha diplomasi Indonesia dalam meredakan konflik Iran–Israel, supaya ketegangan dapat diredakan, nyawa orang awam dilindungi, serta ruang rundingan yang bermakna dapat dibuka ke arah penyelesaian yang aman dan berkekalan.
“Sewaktu panggilan telefon bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, semalam, kami bertukar pandangan mengenai pelbagai isu semasa, termasuk konflik Iran-Israel.
“Kami bersetuju untuk mengatur pertemuan dalam masa terdekat, termasuk cadangan saya untuk berkunjung ke Jakarta sebagai langkah memperkukuh hubungan dua hala yang sedia erat.
“Menyentuh isu serantau dan antarabangsa, kami bertukar pandangan mengenai konflik Iran–Israel serta kepentingan pendekatan diplomasi yang berterusan.
“Dalam hal ini, saya menyokong kesungguhan Presiden Prabowo untuk berhubung secara langsung dengan pihak Amerika Syarikat serta Republik Islam Iran bagi mendapatkan persetujuan kepada penghentian pertempuran dengan segera.
“Saya juga akan menyampaikan sokongan terhadap usaha diplomatik yang digerakkan oleh beliau kepada rakan-rakan di rantau Teluk, Turkiye serta Amerika Syarikat,” ujar Anwar.



