Emel Pembaca: Penyeludupan minyak subsidi di sempadan Kelantan kian menjadi, SPRM jangan tidur

Saya ingin menarik perhatian pihak berkuasa dan pembaca mengenai isu penyeludupan minyak petrol bersubsidi yang didakwa berleluasa di kawasan sempadan Kelantan, khususnya di sekitar Pengkalan Kubor, Tumpat, Wakaf Bharu dan Pasir Pekan.

Sebagai rakyat yang mengikuti perkembangan di kawasan tersebut, perasaan geram sukar digambarkan apabila melihat kegiatan sindiket yang dipercayai mengisi minyak dalam jumlah besar di stesen-stesen minyak sebelum diseludup ke Thailand. Kehadiran kenderaan seperti Pajero dan kereta-kereta lama yang berulang kali mengisi minyak telah menjadi rahsia terbuka dalam kalangan penduduk tempatan.

Masyarakat setempat menyedari kewujudan kumpulan ini, namun mereka tidak mempunyai kuasa untuk bertindak atau berdepan dengan sindiket yang dipercayai terlibat.

Di Pengkalan Kubor, yang terletak berhampiran Sungai Golok, suasana di stesen minyak dilaporkan menjadi sangat sibuk seawal pagi.

Menurut cerita yang beredar, sekitar jam 8.30 pagi akan ada arahan supaya kegiatan tersebut dihentikan kerana “bos” akan datang. Siapakah “bos” yang dimaksudkan, masih menjadi tanda tanya.

Adalah sukar untuk mempercayai bahawa kegiatan yang berlaku sejak sekian lama ini tidak diketahui oleh pihak berkuasa berkaitan.

Persoalannya kini ialah sama ada terdapat iltizam yang cukup kuat untuk melaksanakan pembanterasan secara menyeluruh.

Sebagai rakyat Malaysia, kita tidak boleh membiarkan penyelewengan subsidi yang menggunakan wang negara berlaku secara terang-terangan.

Minyak bersubsidi sepatutnya dinikmati oleh rakyat tempatan, bukan diseludup keluar untuk keuntungan pihak tertentu.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pernah menjalankan operasi membanteras kegiatan penyelewengan minyak di tengah laut. Justeru, rakyat berharap SPRM dapat sekali lagi mengambil tindakan tegas bagi mengekang sindiket penyeludupan petrol ke Thailand, lebih-lebih lagi dalam keadaan beban subsidi kerajaan yang semakin meningkat serta isu kekurangan bekalan minyak di negara jiran.

Langkah tegas dan menyeluruh amat diperlukan bagi memastikan wang negara dilindungi daripada terus disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Ahmad Faizal

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat