Hukuman Mati, Penjara Sepanjang Hayat, Dimansuh – Azalina

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Jemaah Menteri bersetuju melakukan perubahan sistem keadilan dengan meluluskan beberapa dasar baharu termasuk memansuhkan hukuman mati bagi ke­salahan-kesalahan yang tidak menyebabkan kematian melainkan tiga kesalahan iaitu Seksyen 121 dan 121A Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Pada masa sama, kerajaan juga memutuskan tiada lagi hukuman penjara sepanjang hayat sebagai alternatif kepada hukuman mati mandatori.

Alternatif kepada hukuman penjara sepanjang hayat yang dicadangkan adalah penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat lalu.

“Hukuman pemenjaraan sepanjang hayat sebagai satu hukuman dimansuhkan sepenuhnya dalam semua undang-undang; hukuman mati dimansuhkan bagi kesalahan-kesalahan yang tidak menyebabkan kematian, melainkan tiga kesalahan iaitu Seksyen 121 dan 121A Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B ADB 1952.

“Satu Rang Undang-Undang (RUU) baharu bagi membolehkan hukuman mati atau hukuman pemenjaraan sepanjang hayat yang telah dikenakan disemak semula oleh Mahkamah Persekutuan.

“Cadangan RUU ini dijangka memberi kesan kepada 957 orang banduan hukuman mati dan banduan sepanjang hayat yang telah menghabiskan proses rayuan di mahkamah sebelum ini,” kata Azalina dalam sesi pertanyaan di Dewan Negara semalam, lapor Utusan.

Seksyen 121 Kanun Keseksaan ialah melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong manakala Seksyen 121A adalah Kesalahan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Beliau menjelaskan demikian bagi menjawab pertanyaan Senator Datuk Koh Nai Kwong mengenai apakah status terkini kajian semula cadangan melaksanakan hukuman gantian kepada hukuman mati mandatori bagi pelbagai kesalahan.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, dasar kerajaan Madani ketika ini ialah untuk mengubah hukuman dan bukannya menghapuskan hukuman mati berkenaan, dengan kuasa budi bicara diberikan kepada hakim.

Menurut Azalina, bacaan kali pertama bagi RUU Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 dan RUU Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 akan dilakukan Isnin depan (27 Mac).

“RUU Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 dijangka memberi kesan kepada 476 orang banduan hukuman mati yang belum menghabiskan proses rayuan, sama ada di Mahkamah Rayuan ataupun Mahkamah Persekutuan.

“Hal ini disebabkan hukuman alternatif kepada hukuman mati mandatori akan bersifat ke belakang,” katanya.

Kata Azalina, kerajaan telah mengadakan 19 sesi libat urus dan mesyuarat bersama pihak berkepentingan seperti agensi kerajaan, peguam, bekas Ketua Hakim Negara, pakar perundangan perlembagaan, banduan-banduan akhir dan keluarga serta pertubuhan bukan kerajaan seperti Rangkaian Anti-Hukuman Mati Asia (ADPAN) dan Reprieve di United Kingdom sebelum melaksanakan dasar-dasar tersebut.

“Pindaan perundangan me­libatkan polisi penghukuman dan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori ini merupakan perubahan positif kepada sistem keadilan jenayah di Malaysia supaya lebih holistik dan inklusif, selain tidak menafikan hak asasi individu untuk mendapat keadilan sewajarnya,” kata beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat