Oleh Zihan Zari
ABUJA, NIGERIA – Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) menyokong usaha Council for the Regulation of Engineering in Nigeria (COREN) melalui kolaborasi bimbingan bagi mempertingkatkan akreditasi pendidikan kejuruteraan di negara tersebut.
Nigeria, yang telah mencapai status penandatangan di bawah Washington Accord pada Jun 2023, kini menumpukan usaha untuk memperolehi pengiktirafan di bawah Sydney dan Dublin Accord, khusus bagi Pendidikan Teknologi Kejuruteraan dan Juruteknik Kejuruteraan.
LLM dalam kenyataan berkata Pengarah Jabatan Akreditasi Kejuruteraan LJM, Ir Zairul Amri Zakaria telah dilantik mewakili LJM dalam inisiatif ini.
“Malaysia, yang telah memperoleh status penuh bagi ketiga-tiga Accord, berkongsi pengalaman dan kepakaran untuk membantu Nigeria menyesuaikan sistem dan standard akreditasi mereka dengan amalan global.
“Program mentor ini berlangsung di Nigeria dari 7 hingga 13 Feb 2026, termasuk sesi pertemuan bersama pemimpin COREN iaitu CEO COREN, Engr. Prof. Okorie Austin Uche; Pengerusi COREN, Engr. Prof. Christian A. Bolu; dan Pengarah Akreditasi COREN, Engr. Prof. Baba Jibril El Yakubu,”kata kenyataan itu.
“Program ini juga merangkumi sesi perkongsian Amalan Terbaik Malaysia, meliputi penilaian pencapaian hasil program, objektif pendidikan serta penambahbaikan kualiti berterusan melalui amalan terbaik dan penyimpanan rekod.
“Lawatan ke Dorben Polytechnic, Abuja dan Yaba College of Technology, Lagos turut diadakan untuk menilai kesiapsiagaan institusi pendidikan tinggi Nigeria dalam memperoleh pemuafakatan di bawah Sydney dan Dublin Accord, ”katanya.
“Program mentor ini membolehkan LJM membantu Nigeria mempertingkatkan akreditasi kejuruteraan, sambil memperluas pengalaman dan pembelajaran kita sendiri,”kata Ir Zairul Amri dalam kenyataan yang sama.
“Ia lebih daripada sekadar perkongsian teknikal, ia membuka peluang bertukar amalan terbaik, menyesuaikan strategi, dan membina kapasiti yang kukuh dalam bidang kejuruteraan,”ujarnya.
“LJM terus komited menyokong mana-mana negara yang memerlukan khidmat nasihat teknikal dan perkongsian kepakaran, bagi memperkukuh sistem akreditasi serta membina kapasiti mampan dalam bidang kejuruteraan,”tambahnya. – SUARA.TV



