SEREMBAN,— Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan telah menghantar satu memorandum kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa tindakan segera diambil bagi memindahkan Ahli Parlimen Bersatu yang telah dipecat ke blok Bebas di Dewan Rakyat.
Menurut sumber dalam Bersatu Negeri Sembilan, memo yang dihantar itu antara lain menekankan bahawa kelewatan memindahkan Ahli Parlimen terlibat boleh menimbulkan kekeliruan terhadap kedudukan sebenar blok pembangkang serta menjejaskan kredibiliti pengurusan parti di Parlimen.
Sumber tersebut berkata, kegagalan mengambil tindakan segera juga boleh memberi kesan terhadap disiplin dalaman parti serta mencemarkan imej Bersatu dan Perikatan Nasional sebagai sebuah gabungan pembangkang yang tegas dan konsisten dalam melaksanakan keputusan organisasi.
Menurut sumber sama, memorandum tersebut turut mencadangkan supaya Setiausaha Agung Bersatu menghantar surat rasmi kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi memaklumkan status pemecatan Ahli Parlimen terlibat, seterusnya memohon pemindahan mereka ke blok Bebas bagi mencerminkan kedudukan politik sebenar.
Difahamkan, Ahli Parlimen yang terlibat termasuk Larut, Gerik, Padang Rengas, Machang dan Indera Mahkota, yang sebelum ini memegang pelbagai jawatan dalam struktur pembangkang.
Sumber berkenaan turut memaklumkan bahawa memorandum itu menekankan keperluan penstrukturan semula kepimpinan blok pembangkang, termasuk pelantikan Ketua Pembangkang baharu serta penggantian beberapa jawatan penting lain bagi memastikan kelancaran dan keberkesanan peranan pembangkang di Dewan Rakyat.
Menurut sumber itu lagi, ketika ini lima Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat perlu dipindahkan segera ke blok Bebas, manakala enam Ahli Parlimen lain telah lebih awal dialihkan ke blok bebas kerana menyokong kerajaan, menjadikan jumlah Ahli Parlimen Bersatu dalam blok pembangkang kini sebanyak 20 orang.
Sumber tersebut menegaskan tindakan segera diperlukan bagi memulihkan disiplin, autoriti serta kredibiliti Bersatu dan Perikatan Nasional sebagai blok pembangkang yang berfungsi secara efektif di Parlimen.



