KUALA LUMPUR – Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan Adun Chukai merangkap Exco Infastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu Datuk Hanafiah Mat tidak diwajibkan letak jawatan.
Hal ini tegas Samsuri kapasiti Hanafiah sebagai Exco Kerajaan Negeri tidak menjejaskan proses pendakwaan dan perbicaraan di mahkamah.
“Saya mengambil maklum isu seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang kini berada di peringkat pendakwaan dan perbicaraan. Kerajaan Negeri komited menjaga integriti dan menghormati sepenuhnya proses undang-undang yang sedang berjalan.
“Seseorang tidak boleh dianggap bersalah sehingga dibuktikan di mahkamah. Semua pihak diminta tidak membuat spekulasi atau sebarang penilaian awal yang boleh menjejaskan proses keadilan.
“Ahli MMKN berkenaan tidak diwajibkan meletak jawatan, kerana kapasiti beliau sebagai Exco Kerajaan Negeri tidak menjejaskan proses pendakwaan dan perbicaraan.
“Saya menyeru semua pihak agar bertenang dan memberi ruang kepada sistem perundangan menjalankan tugasnya secara profesional.
“Semoga kita semua terus dipandu dalam melaksanakan amanah ini,” kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu dalam kenyataan pada Selasa.
Terdahulu dilaporkan, Hanifiah yang berdepan dua pertuduhan menyalahgunakan kedudukan tidak akan bercuti dan menjalankan tugasnya termasuk sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) seperti biasa.
Beliau yang yang memegang portfolio Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu berkata, keputusan tersebut dibuat selepas menerima arahan daripada Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
“Menteri Besar telah mengarahkan saya supaya meneruskan tugas seperti biasa”, katanya.



