KUANTAN: Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan kerajaan negeri Pahang memperkenalkan Rebat Air Makmur (RAM) untuk kumpulan B40 di negeri itu.
Jelas Wan Rosdy, ia bagi meringankan beban golongan yang terkesan akibat kenaikan tarif air seperti yang diumun Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) baru-baru ini.
“Kerajaan Negeri Pahang mengambil maklum keputusan Kerajaan Persekutuan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang telah mengumumkan pelarasan kadar tarif air di bawah Mekanisme Penetapan Tarif bagi pengguna kategori domestik di seluruh Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2024.
“Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah perlu bagi meringankan beban golongan yang terkesan akibat kenaikan tarif air.
“Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Pahang yang bermesyuarat pada hari ini telah bersetuju untuk memperkenalkan Rebat Air Makmur (RAM) melibatkan golongan sasar B40 bagi meminimakan kesan pelarasan tarif air ini,” kata Wan Rosdy menerusi kenyataan Facebooknya, pada Rabu.
Jelas Wan Rosdy lagi, Skim ini akan melibatkan golongan B40 dalam kumpulan seperti berikut Penerima Bantuan e-Kasih, Penerima Bantuan i-Damak, Penghuni Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan Rumah Rakyat Pahang (RRP).
Antara manfaat Rebat Air Makmur (RAM) yang bakal diperolehi oleh mereka yang termasuk dalam kategori yang dinyatakan ialah :
1. Pemberian Air Percuma
• Pemberian air secara percuma bagi golongan B40 terlibat yang menggunakan air tidak melebihi 12 meter padu sebulan.
2. Tiada Kenaikan Caj Bayaran Bil Air Bulanan
• Tiada kenaikan caj bayaran dikenakan bagi golongan B40 terlibat yang menggunakan air di antara 13 meter padu hingga 24 meter padu sebulan.
• Bayaran pada kadar baharu lebih rendah berbanding kadar terdahulu selepas pemberian Rebat Air Makmur.
3. Rebat Bulanan
• Kenaikan minima bagi golongan B40 terlibat yang menggunakan air 25 meter padu dan ke atas sebulan menerusi pemberian Rebat Air Makmur ialah RM10 sebulan.
“Jumlah keseluruhan golongan sasar yang menerima impak Rebat Air Makmur adalah seramai 38,000 orang pengguna dengan implikasi kewangan sebanyak RM4.6 juta setahun,
“Rebat Air Makmur ini akan diberi secara automatik kepada semua pengguna dalam golongan sasar, manakala bagi pengguna yang tergolong dalam golongan sasar namun tidak menerima rebat secara automatik atas sebab tertentu, boleh memohon dan menyemak di kaunter Pejabat-pejabat Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) Daerah terdekat bermula 25 Januari 2024 (Khamis),
“Skim Rebat Air Makmur ini antara lain membuktikan Kerajaan Negeri Pahang tetap mendengar pandangan pelbagai pihak, ketika mana pelarasan tarif air tidak dapat dielakkan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan bekalan air di masa hadapan,” ujar Wan Rosdy.
Tambah Wan Rosdy lagi, Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) sebagai operator perkhidmatan bekalan air juga diminta untuk meningkatkan mutu perkhidmatan, merangka perancangan strategik dan seterusnya mewujudkan situasi ‘menang menang’ kepada semua pihak yang terlibat.
Jelas beliauu, selama 40 tahun Kerajaan Negeri Pahang tidak melakukan penyelarasan tarif air dan sudah tiba masanya Kerajaan Negeri memulakan langkah bagi memastikan keterjaminan, meningkatkan kecekapan operasi serta kualiti perkhidmatan bekalan air di masa hadapan.
Terdahulu, pelarasan tarif air akan dilaksanakan di bawah Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) bagi pengguna kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan mulai 1 Februari 2024.
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), dalam satu kenyataan minggu lepas berkata, pelarasan tarif ini melibatkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.
“Di bawah TSM, struktur dan komponen tarif akan diseragamkan untuk negeri-negeri di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan manakala tarif air akan dikaji semula setiap tiga tahun untuk memastikan keselarasan dalam penentuan bayaran.
“Pelarasan tarif air bagi kategori domestik tidak lagi boleh ditangguhkan agar tidak menjejaskan kemapanan industri perkhidmatan air dalam jangka masa panjang sekali gus memberi impak kepada kualiti perkhidmatan bekalan air yang dinikmati oleh rakyat,” katanya.-SUARATV