PN tak setuju pegawai kerajaan lantikan kontrak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) memandang serius keputusan Jemaah Menteri mengenai pengambilan pegawai kerajaan secara lantikan kontrak berkuat kuasa 1 Februari 2024.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, apa pun langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk mengurangkan beban fiskal negara, kebajikan penjawat awam jangan diabaikan dan pengecilan saiz perkhidmatan awam jangan dijadikan fokus utama.

Justeru beliau mencadangkan untuk mengatasi masalah beban fiskal negara, kerajaan sepatutnya memberi fokus kepada usaha-usaha untuk menambah hasil negara dengan menggalakkan pelaburan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi.

“Inilah yang sepatutnya menjadi fokus kerajaan,” tegas Muhyiddin.

Presiden Bersatu itu berkata demikian mengulas kenyataan media Jabatan Perkhidmatan Awam hari ini.

Katanya, langkah interim ini diambil bagi memastikan kemampanan kewangan kerajaan bagi jangka masa panjang.

Ujarnya, satu kaedah baharu lantikan tetap pegawai awam akan dimuktamadkan kelak

“PN menegaskan bahawa sebarang dasar baharu mengenai pelantikan pegawai awam hendaklah dilaksanakan secara berhati-hati supaya tidak menjejaskan sektor perkhidmatan awam yang menjadi tunjang pentadbiran kerajaan.

“Isu bayaran pencen penjawat awam yang meningkatkan tanggungan fiskal negara telah berlarutan sejak sekian lama dan memerlukan penyelesaian yang tuntas,” kata beliau.

Namun begitu, menurut Muhyiddin sebarang bentuk penyelesaian yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan tidak boleh menjurus kepada pengabaian kebajikan penjawat awam atau pengecilan saiz perkhidmatan awam tanpa mengambil kira keperluan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat secara cekap, meluas dan berkesan di seluruh negara.

“Ini kerana sebahagian besar daripada 1.6 juta kakitangan awam pada masa ini mengisi sektor-sektor penting dan kritikal seperti keselamatan, kesihatan dan pendidikan.

“Kita pastinya masih ingat ketika wabak Covid-19 melanda negara, penjawat awam terutamanya yang berkhidmat dalam sektor kesihatan dan keselamatan menjadi petugas barisan hadapan (frontliners) yang penting dalam usaha melawan Covid-19.

“Saya masih ingat setiap keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang saya pengerusikan dapat dilaksanakan dengan segera, cekap dan berkesan kerana negara kita mempunyai petugas barisan hadapan yang mencukupi di seluruh pelusuk negara,” katanya.

Ujar Muhyiddin lagi, bayangkan sekiranya kita kekurangan doktor, jururawat, polis, tentera, guru, penguatkuasa, kakitangan pertahanan awam dan lain-lain jabatan yang berkaitan, setiap keputusan dan langkah yang diputuskan di Putrajaya belum tentu dapat dilaksanakan dengan menyeluruh dan berkesan di seluruh negara.

“Penjawat awam adalah tunjang keupayaan negara (state capacity) yang terbukti penting ketika negara menghadapi krisis.

“Kerana itulah Malaysia menjadi antara negara yang paling awal dapat keluar dari wabak Covid-19,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat