Aina tertekan fikirkan konsep persembahan AJL 37

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sepanjang tiga kali beraksi pada malam kemuncak Anugerah Juara Lagu (AJL), kemunculan penyanyi Aina Abdul pasti menjadi bualan sama ada membabitkan penampilan ataupun konsep persembahan.

Menerusi edisi AJL 37 yang bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada bulan depan, Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani mempertaruhkan lagu ciptaannya berjudul Terus Hidup.

Mengulas perkara itu, Aina berkata, dua perkara memberi kesan terhadap emosinya setiap kali bergelar finalis acara tahunan berprestij itu.

“Tak dinafikan, penampilan dan konsep persembahan memberi tekanan kepada saya setiap kali berjaya melangkah ke pentas AJL.

“Saya dan pasukan perlu memikirkan sesuatu yang ‘ekstravaganza’ untuk menepati piawaian yang kami tetapkan, memandangkan ini adalah tahun keempat saya bolos AJL.

“Formula ini digunakan sejak awal saya melangkah ke AJL, jadi saya akan teruskan legasi fesyen sampai bila-bila,” katanya kepada HIP.

 

Dua perkara memberi kesan terhadap emosi Aina setiap kali bergelar finalis AJL. - NSTP/Aziah Azmee
Dua perkara memberi kesan terhadap emosi Aina setiap kali bergelar finalis AJL. – NSTP/Aziah Azmee

 

Puas hati dengan hasil kerja Melinda Looi pada AJL tahun lalu, penyanyi yang mula meledak dengan lagu Sumpah ini tetap mengekalkan khidmat pereka fesyen terkenal itu, tahun ini.

“Saya akan kembali bekerjasama dengan Melinda yang pernah menghasilkan busana berbentuk pokok pada AJL tahun lalu.

“Kami baru sahaja selesai berbincang. Banyak kali saya kena marah kerana busana diimpikan sangat mencabar dan memberi sedikit kesukaran ketika proses jahitan.

“Melinda kata saya ‘kejam’ kerana masa diberikan agak singkat dan proses menghasilkan busana ini akan mengganggu cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

“Disebabkan itu, saya berjanji akan menyediakan pembantu yang boleh membantu untuk menyiapkan busana ini, termasuk membantunya membuat persiapan untuk menyambut perayaan Tahun Baharu Cina,” ujar Aina ketika ditemui pada sidang media memperkenalkan pengacara dan tema AJL 37, baru-baru ini.

Meskipun terpaksa berhabis dari segi persiapan, bekas protege Ratu Rock, Ella menerusi program Mentor Legend itu berkata, apa yang dilakukan demi kepuasan diri, peminat, dan pasukannya.

“Sejujurnya, pernah berlaku segala usaha dilakukan tidak memberi impak seperti diharapkan walaupun banyak melabur.

“Situasi ini menyebabkan saya kecewa. Walaupun kos dikeluarkan bukan sedikit, tetapi saya tak kisah mengeluarkan belanja.

“Usia saya menginjak 30 tahun. Kerjaya seni saya seperti bateri dan tidak tahu berapa lama lagi akan bertahan.

“Jadi, saya perlu manfaatkan peluang yang ada untuk terus kekal relevan dalam bidang nyanyian. Disebabkan itu, saya tabik kepada semua penyanyi senior yang mampu bertahan hingga hari ini,” ungkapnya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,445FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat