KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang dipengerusikan Perdana Menteri hari ini telah membincangkan secara terperinci mengenai impak banjir ke atas Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) termasuk peniaga informal.

Susulan perbincangan itu bagi meringankan beban rakyat yang terjejas akibat banjir, kerajaan telah memperkenalkan pakej Bantuan Banjir Keluarga Malaysia berjumlah RM1.4 bilion yang merangkumi bantuan tunai, pembaikan rumah dan fasiliti awam, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kata Perdana Menteri, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM), Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Bersekutu Malaysia (MAICCI) serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) telah berkongsi impak akibat banjir.

Kata beliau, mereka turut mencadangkan beberapa tindakan bagi membolehkan PMKS bangkit semula.

“Selain itu mesyuarat turut mendengar keluhan daripada dua orang usahawan PMKS dari Taman Sri Muda, Shah Alam dan Taman Sri Nanding, Hulu Langat yang terjejas teruk bagi mendapatkan gambaran sebenar kerugian, kesan dan masalah yang mereka hadapi.

“Secara prinsip, mesyuarat bersetuju untuk mempertimbangkan bantuan berbentuk geran khusus bagi meringankan beban yang ditanggung oleh usahawan mikro dan informal yang terjejas akibat banjir selain bantuan kewangan yang disediakan oleh agensi-agensi kerajaan.

“Sehubungan itu, Kementerian Kewangan (MOF) akan mengadakan perbincangan lanjut bersama MEDAC, kementerian dan agensi berkaitan
serta Dewan-Dewan Perniagaan bagi memperhalusi cadangan-cadangan yang telah dibentangkan untuk pertimbangan kerajaan,” kata Perdana Menteri dalam kenyataan pada Isnin.

Ismail Sabri juga memberitahu, lawatan susulan ke lokasi yang dikenalpasti akan diadakan bagi memastikan program bantuan banjir PMKS sampai ke kumpulan sasaran.

“Insya-Allah, saya akan mengumumkan inisiatif ini setelah diperhalusi dan adimuktamadkan.

“Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia kekal terjamin,” ujarnya.