KUALA LUMPUR – Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong mengingatkan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP Tony Pua bahawa partinya masih lagi menjalin kerjasama dengan Umno yang dilabelnya sebagai ‘pencinta penyangak’.
“Kalau Tony Pua benci sangat dengan ‘penyangak’ dan ‘pencinta penyangak’, kenapa DAP masih lagi bekerjasama dengan ‘pencinta penyangak’ yang sama ini?
“Jika serius, dia harus mendesak partinya DAP untuk memutuskan segala bentuk kerjasama dan meninggalkan Kerajaan Madani,” seru Ka Siong.
Tony Pua semalam melancarkan serangan terhadap penyokong Datuk Seri Najib Razak dengan melabelkan mereka sebagai pencinta seorang penyangak kerana mengecam pihak yang menyambut keputusan mahkamah dalam kes membabitkan bekas Perdana Menteri itu.
Tony Pua menegaskan dia dan partinya berbangga kerana memainkan peranan penting dalam pemenjaraan Najib.
“Langsung tidak perlu untuk bersimpati dengan penyangak seperti ini,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
“Mereka yang memarahi kami supaya ada ‘perikemanusiaan’, yang terus menyayangi penyangak itu tiada siapa menghalang kamu. Tetapi jangan halang kami rakyat Malaysia yang lain daripada meraikan keadilan yang ditegakkan,” katanya.



