KUALA LUMPUR -Solat Hajat dan bacaan Yaasin diseru dilakukan di seluruh negara berikutan situasi semasa musibah banjir,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad.

Beliau telah meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mengadakan Solat Hajat dan Bacaan Yaasin selepas solat Maghrib pada malam ini di tiga buah masjid utama di bawah seliaan JAKIM iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

“Saya juga memohon kerjasama pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk mengadakan Solat Hajat dan Bacaan Yaasin di Masjid dan surau di Wilayah Persekutuan.

“Pada malam ini, saya dan anggota agensi hal ehwal Islam akan bersama-sama para jemaah di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

“Adalah juga dipohon kerjasama dan jasa baik Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri-negeri untuk turut sama mengadakan Solat Hajat dan Bacaan Yaasin di masjid dan surau di seluruh negeri-negeri untuk memohon keselamatan dan kesejahteraan.

“Saya mendoakan agar mangsa-mangsa banjir dan seluruh keluarga, anggota keselamatan, petugas barisan hadapan, sukarelawan dan semua pihak diberikan keselamatan dan dipermudahkan segala urusan sepanjang melaksanakan misi bantuan,” ujar Idris.

Katanya ini susulan situasi semasa banjir yang melanda di beberapa buah negeri, adalah diseru seluruh masyarakat untuk melaksanakan Solat Hajat dan membaca Surah Yaasin bagi memohon keselamatan dan kesejahteraan buat negara dan seluruh rakyat.