Askar Maut Motosikal Rempuh Lori

- Advertisement -

MELAKA: Seorang anggota tentera maut manakala rakannya cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan lori di lampu isyarat Taman Paya Emas di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA), di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, mangsa, Mohd Hairie Mohd Shah, 22, yang menunggang motosikal maut di tempat kejadian manakala rakannya, Benedict Anak Johnson, 25, luka di kepala, muka, kaki dan tangan dalam insiden pada 4 petang itu.

Afzanizar berkata, pemandu lori berusia 25 tahun yang bekerja sebagai penunda kereta, tidak cedera.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat pangkat kedua-dua anggota tentera dan kem tempat mereka bertugas.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila lori terbabit yang datang dari arah Kampung Bertam Ulu, telah berhenti di lampu isyarat Taman Paya Emas sebelum membelok ke kanan menuju ke Ayer Keroh.

“Namun, secara tiba-tiba, motosikal ditunggang anggota tentera itu dari arah Cheng melanggar bahagian kanan lori berkenaan.

“Penunggang motosikal itu disahkan maut di tempat kejadian oleh penolong pegawai perubatan manakala pemboncengnya cedera dan dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut,” menurutnya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Afzanizar berkata, mayat Mohd Hairie dibawa ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, pemandu lori dibawa ke Hospital Melaka untuk diambil sampel darah yang akan dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan pengesanan kandungan alkohol dan dadah.

Katanya, sehubungan itu individu atau saksi kemalangan itu diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan termasuk punca kemalangan – Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,564FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat