Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA – Politeknik Ungku Omar (PUO) melakar sejarah baharu apabila secara rasminya diiktiraf sebagai Politeknik Pertama di Malaysia yang dilantik sebagai Pusat Penilaian APEL (PPA) oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
PUO memaklumkan pelantikan ini merupakan satu langkah strategik dalam memperluas akses kepada pendidikan tinggi dan memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara melalui pendekatan pengiktirafan pembelajaran terdahulu (APEL).
Majlis peluncurannya telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Dato’ Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran sempena Festival Idea Putrajaya (FOI) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), dekat sini baru-baru ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik & Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Shamsuri Abdullah; Timbalan Ketua Pengarah (Governan) JPPKK, Dr. Riam Chau Mai; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Prof. Ts. Dr. M. Iqbal Saripan; dan Pengarah PUO, Dr. Salmi Che Meh.
Dalam kenyataan yang sama, Dr. Shamsuri berkata pelaksanaan APEL di PUO merupakan satu pengiktirafan kepada institusi tersebut atas kebolehupayaan melaksanakan penilaian yang profesional, sistematik dan berintegriti.
“APEL memberi peluang kepada individu berpengalaman kerja tetapi tiada kelayakan akademik formal untuk melanjutkan pengajian berdasarkan pengalaman sebenar mereka. Inilah yang dimaksudkan dengan pengiktirafan ilmu sepanjang hayat.
“PPA PUO, calon bukan sahaja dinilai melalui APEL.A (kemasukan ke program akademik), malah dibimbing untuk mengenal pasti kekuatan pengalaman mereka, seterusnya diterjemahkan dalam bentuk nilai ilmu yang relevan dengan keperluan akademik,”katanya.
“Inisiatif ini selaras dengan hasrat menjadikan laluan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara sebagai satu pilihan utama yang inklusif, fleksibel dan progresif, sekali gus menyumbang ke arah peningkatan mobiliti sosial rakyat Malaysia.
“Ia juga mencerminkan kepercayaan bahawa ilmu bukan semata-mata diukur melalui sijil, tetapi melalui pengalaman, usaha dan kebijaksanaan yang dibina sepanjang kehidupan, ”katanya lagi.
Tambahnya, dengan pelantikan ini, PUO berada di barisan hadapan dalam usaha memartabatkan pendidikan holistik yang mengiktiraf kebolehan sebenar rakyat, serta memperkukuh aspirasi Malaysia Madani dalam bidang pendidikan tinggi negara.-SUARA.TV



