TAWAU – Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin akui tegas tidak mudah memaafkan ‘pengkhianatan’ yang dilakukan oleh Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang masing-masing dipecat dan digantung keahliannya oleh Lembaga Disiplin Bersatu gara-gara isu akuan bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan usaha mendesak pengunduran beliau sebelum ini.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal mesti melalui suatu tempoh ‘hukuman’ yang agak sesuai.
Ditanya adakah Muhyiddin sedia memaafkan sekiranya Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal datang menemuinya dan meminta maaf.
” Itu soal lain. Bila dah berlaku kesalahan, perlembagaan disiplin sudah putus itu.
“Tapi kalau lama-kelamaan mereka sedar, bukan besok datang jumpa saya, baru semalam dihukum.
“Dalam kes parti-parti lain pun, mereka harus menanggung kesan daripada tindakan kerana melanggar parti, perlembagaan dan kepentingan parti.
“Itu mereka harus bertanggungjawab,” tegas Muhyiddin ketika ditemui di Tawau pada Ahad dalam jelajah kempen PN.
Mengulas lanjut Muhyiddin memberitahu tindakan tegas Bersatu itu kerana membabitkan Perlembagaan parti.
“Itu proses dalam sistem parti saya, kita ada perlembagaan.
“Maknanya, sesiapa yang dilihat telah melanggar apa-apa peruntukan dalam perlembagaan.
“Lembaga Disiplin dan Lembaga Rayuan ini dua badan yang akan mengambil tindakan-tindakan sewajarnya.
“Jadi sementara itu, kalau mereka itu sudah pun dijatuhkan hukuman, mereka mesti melalui suatu tempoh yang agak sesuai, sebelum mereka nak membuat rayuan- kalau mereka digantung atau dipecat dan sebagainya,” tegas Muhyiddin.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, dipecat daripada Bersatu manakala Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal Ahli Parlimen Machang digantung keahliannya selama satu penggal.
Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal itu adalah dua daripada enam ahli Bersatu yang dikenakan tindakan oleh badan disiplin parti kerana melanggar peraturan yang ditetapkan parti terbabit.
Mereka sebelum ini didakwa terbabit mengumpul SD dalam kalangan ketua bahagian Bersatu di seluruh negara bagi mengusulkan perbincangan mengenai langkah transisi kepemimpinan parti kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.



