KOTA KINABALU: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN N30 Bongawan, Rizwan Firdaus, menegaskan wakil rakyat seharusnya turun mencari rakyat dan membantu menyelesaikan masalah mereka, bukannya hanya menunggu rakyat datang ke pejabat.
“Saya mahu pemimpin yang mencari rakyat, bukan rakyat mencari pemimpin. Kita turun ke kampung, kita bantu mereka isi borang, kita selesaikan terus masalah mereka,” katanya ketika ditemu bual dalam podcast Suara TV.
Menurut beliau, ramai penduduk luar bandar kini berdepan kesukaran akibat proses birokrasi yang rumit sehingga terpaksa berulang-alik ke pejabat daerah hanya untuk urusan bantuan.
Katanya, jika diberi mandat, beliau akan memperkenalkan konsep pusat khidmat bergerak di DUN Bongawan dengan turun secara berkala ke kampung-kampung bagi membantu rakyat menguruskan permohonan bantuan, aduan serta urusan kebajikan secara terus di lapangan.
“Kadang-kadang bukan rakyat tidak mahu urus, tetapi mereka sudah putus asa kerana proses terlalu rumit dan perlu datang berkali-kali tetapi masih tidak selesai,” katanya.
Langkah itu, menurut Rizwan, merupakan sebahagian daripada komitmennya untuk mewujudkan pentadbiran yang lebih mesra rakyat dan berintegriti sekiranya diberi kepercayaan oleh pengundi pada PRN Sabah ke-17.


