‘Kita sudah buktikan’, Hajiji pertahan rekod GRS, minta rakyat pilih kesinambungan

KOTA KINABALU – Ketua Menteri
Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa selepas lima tahun mentadbir, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah membuktikan keupayaannya mengembalikan negeri ini ke landasan pembangunan yang lebih stabil dan teratur.

Bercakap dalam temu bual bersama wartawan Suara TV, Jannah Jalidar, beliau menjelaskan kesinambungan pembangunan hanya dapat dicapai melalui kestabilan politik, dan mengingatkan bahawa segala perancangan mungkin tidak sampai kepada matlamatnya jika Sabah kembali berdepan dengan dinamika politik yang tidak menentu.

Menurutnya, pengalaman ‘Langkah Kinabalu’ cukup memberi pengajaran bahawa ketidaktentuan politik hanya merugikan rakyat, menjejaskan pelaburan dan merencatkan pembangunan negeri.

“Apa yang kita mulakan ini bukan projek sementara. Ia perjalanan jangka panjang untuk membawa Sabah ke arah yang lebih baik. Tetapi jika politik tidak stabil, semua perancangan ini akan terganggu dan matlamat yang disasarkan tidak akan tercapai.

“Saya sendiri tidak mahu Sabah kembali ke era ketidaktentuan politik seperti Langkah Kinabalu yang lepas kerana ia menjejaskan pembangunan dan keyakinan pelabur.

“Semua perancangan yang telah dibuat selama lima tahun ini perlukan kesinambungan untuk memastikan Sabah tidak berhenti separuh jalan,” katanya.

Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, Hajiji berkata sekali lagi Sabah berdepan ujian sama ada GRS dikekalkan sebagai kerajaan negeri, atau berlaku situasi tiada majoriti yang memaksa rundingan pembentukan kerajaan baharu dengan parti lain.

Beliau tidak menolak sebarang kemungkinan, termasuk berunding dengan mana-mana pihak selepas keputusan pilihan raya diumumkan.

Mengulas mengenai gerak kerja kempen minggu pertama, Hajiji berkata momentum GRS berada pada tahap meyakinkan.

“Walaupun pelancaran rasmi jentera baharu baru sahaja dibuat, saya tahu semua bahagian sebenarnya telah lama menggerakkan jentera masing-masing.

“Di kawasan saya, saya berjumpa dengan 2,500 petugas parti dan semangat mereka semakin naik. Dengan keadaan seperti ini, saya yakin peluang GRS untuk menang adalah besar,” katanya.

Beliau menambah bahawa sepanjang lima tahun pentadbiran GRS, hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) telah membuktikan keberkesanannya dalam memacu ekonomi negeri dengan memberi tumpuan kepada tiga sektor utama, pertanian, perindustrian dan pelancongan.

“Kita buat perkara yang kerajaan dahulu tidak pernah buat. Dengan fokus ini, kita lihat hasilnya semakin ketara,” katanya.

Hajiji berkata pendekatan mesra pelabur telah membuka lebih banyak pintu pelaburan, termasuk yang terbesar melibatkan RM31 bilion daripada syarikat Istil dari Singapura.

“Kita perkenalkan pendekatan mesra pelabur, bukan saja untuk pelabur luar negara tetapi juga dari seluruh Malaysia. Hasilnya, SOGIP di Sipitang kini sudah penuh. Pelaburan Istil RM31 bilion itu sudah ditandatangani dan disaksikan sendiri oleh Perdana Menteri.

“Kita sedang cari tapak baharu untuk bangunkan satu lagi taman perindustrian minyak dan gas,” katanya.

Selain itu, Taman Perindustrian Kota Kinabalu juga jelasnya hampir penuh dengan baki kurang 100 ekar tanah, manakala sebuah taman perindustrian teknologi tinggi dirancang di antara Kota Belud dan Kota Marudu.

“Kita juga telah memulakan pembangunan Taman Perindustrian Blue Economy di Kudat. Ada pelaburan RM360 juta untuk membina tuna landing port. Yang menariknya, kita dapat 30 peratus pegangan walaupun kerajaan tidak keluarkan dana,” jelasnya.

Bagi sektor pelancongan beliau berkata sektor tersebut turut menunjukkan perkembangan pesat dengan pembinaan resort dan hotel baharu di seluruh Sabah.

“Pelaburan dari Taiwan di Papar sedang berjalan, Club Med di Kuala Penyu oleh syarikat Perancis akan siap tahun depan. Banyak resort baharu dibina di Kota Kinabalu dan di pantai timur.

“Ini membawa masuk wang pelancong, dan memberi impak kepada hotel, restoran serta rantaian ekonomi keseluruhannya. Puluhan ribu peluang pekerjaan diwujudkan,” katanya.

Mengulas kekuatan fiskal negeri, Hajiji berkata keadaan kewangan Sabah kini berada dalam keadaan terbaik sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Ketika kita ambil alih dulu, hasil negeri hanya sekitar RM4 bilion. Sekarang hampir RM7 bilion setahun. Rizab negeri pula kurang RM3 bilion kini sudah lebih RM8 bilion.

“Kita kumpul RM7 bilion tetapi belanja RM5 atau RM6 bilion saja. Lebihan itu masuk dalam rizab. Ini menunjukkan pengurusan fiskal yang kukuh,” katanya.

Dalam bidang pendidikan, kerajaan telah membelanjakan RM1.2 bilion dalam tempoh empat tahun bagi meningkatkan modal insan Sabah.

“Biasiswa yang dulu RM40 atau RM50 juta, kini RM145 juta. Setiap tahun hampir 40,000 pelajar Tingkatan 5 dapat bantuan RM200 sebelum peperiksaan. Banyak bantuan lain diberi supaya anak-anak Sabah mendapat pendidikan dan kemahiran lebih baik,” katanya.

Mengulas isu air pula, Hajiji menegaskan ia adalah masalah lama yang diwarisi, bukan kegagalan pentadbiran GRS.

“Kita sedang buat projek bernilai RM1.2 bilion. Kita dapat pinjaman mudah RM320 juta untuk naik taraf logi dan 18 projek sedang berjalan. Papar dinaik taraf daripada 40 juta liter kepada 80 juta liter sehari.

“Ampangan Cinta Mata di Tawau siap 60 peratus, dijangka siap 2028. Banyak paip diganti di Ranau, Banggi, Beluran, Kudat. Semua ini melibatkan RM1.2 bilion,” katanya.

Hajiji berkata lebih malang apabila kerajaan terpaksa membayar pampasan RM315 juta akibat pembatalan konsesi oleh kerajaan terdahulu.

“Bayangkan kalau RM315 juta itu tidak dibazirkan, berapa banyak jalan dan jambatan boleh dibina?” katanya.

Hajiji turut memberi respons terhadap dakwaan pembangkang mengenai jalan raya berlubang.

“Ini masalah lama. Pemimpin yang kritik itu dulu jadi Menteri JKR. Kawasan dia sendiri jalan berlubang. Masa dia ada kuasa, kenapa tidak buat?

“Sekarang bila kita tengah betulkan, mereka pula kata kita gagal. Ini propaganda yang tidak cerminkan rekod kerja mereka,” katanya.

Tambahnya, GRS juga memberi fokus kepada pembangunan belia termasuk pembinaan stadium antarabangsa di Likas bernilai lebih RM200 juta dan pembinaan kompleks sukan di beberapa daerah lain.

“Kita mahu beri ruang kepada anak muda bersukan dan membangun. Banyak program bantu usahawan muda dan wanita muda turut dijalankan,” katanya.

Mengakhiri temu bual itu, Hajiji menegaskan bahawa kestabilan adalah kunci utama kepada masa depan Sabah dan hanya kesinambungan mampu memastikan impian itu tercapai.

Beliau menegaskan bahawa agenda pembangunan yang telah digerakkan dalam tempoh lima tahun ini bukan sekadar memenuhi keperluan semasa, tetapi dirangka untuk memastikan manfaat jangka panjang kepada seluruh rakyat.

“GRS komited memastikan Sabah terus melangkah ke hadapan. Kita mahu pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh, jaringan infrastruktur asas yang lebih baik, sistem pendidikan serta pembangunan modal insan yang berkualiti, dan peluang sebenar untuk anak-anak muda Sabah membina masa depan mereka.

“Apa yang kita mulakan lima tahun lalu memerlukan kesinambungan agar tidak terbantut separuh jalan. Sabah mesti kekal stabil, utuh dan makmur,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat