KUALA LUMPUR: Yayasan Hasanah membuka semula permohonan geran seni sepanjang musim atau Arts for All Seasons (ArtsFAS) bernilai hingga RM250,000 bagi pemohon yang layak sehingga 30 November ini.
Geran ArtsFAS 2022 di bawah Yayasan Khazanah Nasional Bhd adalah terbuka kepada semua organisasi seni, budaya dan warisan di Malaysia.
Pengarah Urusan dan Pemegang Amanah Yayasan Hasanah, Datuk Shahira Ahmed Bazari, berkata yayasan itu akan terus menyokong persada seni, warisan dan budaya di negara ini.
“Pada tahun ini, kami berhasrat mengagihkan dana yang lebih besar supaya lebih banyak projek dan inisiatif berasaskan impak oleh rakan kerjasama kami melalui ArtsFAS dapat dianjurkan.
“Kami turut bekerjasama dengan Kementerian Kewangan (MOF) dalam merealisasikan usaha ini.
“Justeru, kami amat mengalu-alukan pemohon baharu yang memerlukan sokongan untuk persembahan, pameran dan demonstrasi seni yang mempamerkan kekayaan warisan pelbagai budaya untuk rakyat Malaysia,” katanya.
Pemohon yang layak diwajibkan menganjurkan acara atau pameran yang terbuka kepada orang ramai pada atau sebelum 31 Disember depan.
Yayasan Hasanah menyediakan platform untuk mengangkat seni, warisan dan budaya Malaysia yang dipelihara melalui acara yang dibuka kepada orang ramai.
ArtsFAS bertujuan mendidik generasi muda dan masyarakat melalui teknologi, pertukaran pengetahuan dan acara seni.
Sepanjang tahun ini, Yayasan Hasanah menganugerahkan geran bernilai RM3 juta kepada 26 pertubuhan seni, budaya dan warisan menerusi inisiatif geran tahunan ArtsFAS 2022 bagi merancakkan semula ekonomi kreatif.
Kira-kira 1,000 penggiat seni, budaya dan warisan dijangka mendapat manfaat daripada peluang ekonomi yang terjana, sambil menghidangkan siri pengalaman seni dan budaya yang menghiburkan rakyat Malaysia.
Masih berlangsung sehingga akhir tahun ini, ArtsFAS 2022 yang diuruskan bersama MOF, menyokong lebih 50 persembahan, produksi teater, bengkel, pameran, webinar, persembahan berkumpulan dan acara lain di Lembah Klang serta hampir semua negeri di Malaysia.
Tahun lalu, yayasan menyumbang RM1.6 juta melalui geran ArtsFAS 2021.
Pemohon untuk geran ArtsFAS hendaklah menggariskan aktiviti yang dicadangkan, menyenaraikan objektif yang jelas dan mempunyai belanjawan terperinci bagaimana pembiayaan membolehkan projek mencapai objektifnya.
Untuk kriteria dan butiran penuh mengenai cara permohonan, layari www.artsfas.org/apply-now.
Berita Harian