Presiden MIC Sahkan Zahid Hantar Surat Ke Istana Sokong Anwar

- Advertisement -

Presiden MIC SA Vigneswaran mengesahkan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi telah menghantar surat kepada Istana Negara menyatakan sokongan ahli parlimen BN kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.

“Beliau (Zahid) mengaku menghantar surat itu selepas 10 ahli parlimen BN menarik balik sokongan mereka kepada (Pengerusi Perikatan Nasional) Muhyiddin (Yassin) dan BN membuat keputusan untuk kekal berkecuali,” katanya kepada Malaysiakini petang ini.

Terdahulu, unit komunikasi BN menafikan surat yang telah tersebar itu.

Walaupun surat itu menyebut 30 ahli parlimen, Malaysiakini mengetahui hanya 28 yang menandatangani akujanji itu sebelum pilihan raya umum (PRU) untuk memberi mandat kepada Zahid mengadakan perbincangan membentuk kerjasama dengan gabungan lain.

Dua yang tidak menandatangani akujanji itu ialah Timbalan Presiden Mohamad Hasan dan Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein.

Menurut sumber PH, termasuk 28 ahli parlimen, gabungan itu mempunyai 116 kerusi, yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Sementara itu, sumber BN mendakwa surat itu telah menyebabkan ketegangan mesyuarat majlis tertinggi gabungan itu malam tadi dan terdapat percubaan untuk memecat Zahid sebagai pengerusi.

Bagaimanapun, ia dihalang apabila ahli parlimen Umno yang menunggu di luar memasuki bilik mesyuarat.

Bagaimanapun, Vigneswaran enggan mengulas mengenai perkara ini.

Sementara itu, sumber memberitahu Malaysiakini bahawa mesyuarat itu juga membincangkan tawaran PH kepada BN jika mereka menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

“Antara tawaran itu ialah jawatan timbalan perdana menteri dan portfolio kanan kabinet lain, termasuk Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pengangkutan,” tambah mereka.

Ketika laporan ini ditulis, pemimpin BN sedang bertemu dengan Muhyiddin di Hotel St Regis di Kuala Lumpur sebelum membuat keputusan.

Semalam, Muhyiddin menolak saranan Agong agar PN dan PH membentuk kerajaan perpaduan.

Awal hari ini, Zahid mendedahkan bahawa Seri Paduka telah meminta BN menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan semasa menghadap beberapa wakil gabungan itu di Istana Negara.

BN, yang mengalami kemerosotan pilihan raya terbesar dalam tempoh enam dekad lalu, kini menjadi penentu kerana PH yang mempunyai 82 kerusi, dan PN yang mempunyai 73 kerusi, memerlukan sokongan ahli parlimen BN untuk mencapai jumlah majoriti mudah yang diperlukan iaitu 112 kerusi.

Sumner: Malaysiakini

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,479FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat