Kuarters dan Penjara Seremban Dikenakan PKPD Bermula Esok

- Advertisement -

PETALING JAYA – Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Seremban dan Kuarters Penjara Seremban, Negeri Sembilan bermula esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu diambil setelah 246 ujian saringan yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati, sebanyak 25 kes positif Covid-19 dicatatkan di penjara tersebut.

“Berdasarkan penilaian risiko dan atas nasihat KKM, sidang khas hari ini bersetuju melaksanakan PKPD di Penjara Seremban dan Kuarters Penjara Seremban, Negeri Sembilan selama 14 hari bermula 24 November hingga 7 Disember 2020.

“PKPD ini akan meliputi keseluruhan kawasan Penjara Seremban termasuk blok penjara, bangunan pentadbiran serta kuarters pegawai dan kakitangan yang melibatkan 2,080 orang penghuni,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Menurut beliau, kerajaan juga akan melanjutkan dua kawasan PKPD sedia ada iaitu Kampung Sabah Baru, Lahad Datu, Sabah dan Putra Point Nilai, Negeri Sembilan.

Bagi PKPD di Kampung Sabah Baru, kata Ismail Sabri, sehingga 15 November lalu sebanyak 1,914 ujian saringan telah dilaksanakan dan sebanyak 200 kes positif Covid-19 telah direkodkan di lokaliti berkenaan.

Justeru, sidang khas Majlis Keselamatan Negara hari ini bersetuju untuk melanjutkan PKPD di kawasan tersebut selama 14 hari lagi bermula esok sehingga 7 Disember depan.

Beliau berkata, PKPD di Putra Point Nilai pula menyaksikan sebanyak 436 ujian saringan telah dilaksanakan dan 314 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

Bagaimanapun, KKM telah menjalankan saringan kedua pada hari ini dan perlu menunggu semua keputusan sampel saringan kedua diperolehi.

“Atas nasihat dan penilaian risiko KKM, PKPD di Putra Point Nilai, Negeri Sembilan akan dilanjutkan sehingga 30 November ini bagi menunggu sehingga kesemua keputusan sampel saringan kedua diperoleh,” katanya.

Ismail Sabri turut memaklumkan bahawa PKP Bersyarat di Daerah Kuching, Sarawak akan dilanjutkan sehingga 27 November depan.

Jelasnya, sehingga kini sebanyak 1,055 kes kumulatif positif Covid-19 telah direkodkan dan daripada jumlah itu, masih terdapat baki 58 kes aktif yang melibatkan beberapa kluster di daerah Kuching. – Kosmo

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
230,282FollowersFollow
27,498FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat