KUALA LUMPUR – Umno mesti disatukan dari aspek hati, pemikiran dan juga tindakan untuk menarik lebih sokongan.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, semangat kesatuan Umno ini sangat penting dalam menempuhi kedinamikan cabaran politik mendatang.
“Umno mesti disatukan. Disatukan pemikiran, disatukan tindakan dan disatukan hati. Barulah ukhwah sesama ahli diperkukuhkan dan rangkaian yang lebih meluas dapat diwujudkan untuk menarik lebih sokongan,” tegas Timbalan Perdana Menteri itu.
Menurut Zahid, jelajah Akar Umbi Presiden Umno diteruskan ke Umno bahagian Jelebu yang dipimpin oleh Pengerusi Umno Negeri Sembilan merangkap Ketua Umno Bahagian Datuk Seri Jalaluddin Alias.
“Saya nyatakan bahawa jelajah ini merupakan satu manifestasi kesungguhan, komitmen dan iltizam saya sebagai Presiden Umno untuk turun bertemu dengan ahli-ahli di akar umbi di dalam menzahirkan rasa kasih dan tanggungjawab kepada perjuangan.
“Suntikan motivasi dan tiupan semangat untuk membangkitkan roh perjuangan Umno perlu istiqamah di dalam kita melahirkan generasi yang bukan sahaja memahami aspirasi perjuangan Umno malah mampu menterjemahkannya di dalam bentuk tindakan untuk bersama kepimpinan memperkuatkan parti.
“Semoga Umno terus semarak dengan semangat kesatuan di dalam menempuhi kedinamikan cabaran politik mendatang,” ujar Zahid.