PRK Kemaman: PAS perlu calonkan Annuar Musa – Ridhuan Tee

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penganalisis dan pendakwah terkenal, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah menyarankan agar PAS mencalonkan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Annuar Musa sebagai calon Perikatan Nasional (PN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman yang akan akan berlangsung 02 Disember depan.

Jelasnya, PN-PAS bukan hanya memerlukan pemimpin Parlimen semata, tetapi pemimpin Parlimen yang berkaliber, pandai bercakap dan pandai buat kerja. Paling penting, memahami selok belok politik, dan boleh menyantuni kawan dan lawan.

Katanya lagi, PAS memerlukan Ahli Parlimen mantap berhujah di Dewan Rakyat.

“WAHAI pimpinan PAS, calonkanlah Annuar Musa bertanding PRK Kemaman
Demi untuk kebaikan PAS dan negara jua…

“Kepada pucuk pimpinan PAS, saya sekali lagi ingin mencadangkan dan merayu agar Tan Sri Annuar Musa dicalonkan dalam PKR Parlimen Kemaman tidak lama lagi.

“Ini bukan kali pertama saya bercakap, tetapi buat kali kedua, setelah Annuar Musa tidak dicalonkan dalam PRK Parlimen Kuala Terengganu yang lalu. Saya bukan obses atau taksub kepada beliau, tetapi melihat kepada pengalaman dan ketokohannya.

“Hari ini kita bukan sahaja memerlukan pemimpin Parlimen semata, tetapi pemimpin Parlimen yang berkaliber, pandai bercakap dan pandai buat kerja. Paling penting, hadam selok belok politik, menyantuni kawan dan lawan,” katanya menerusi kenyataan Facebooknya, pada Isnin.

Ujar Ridhuan Tee lagi, dalam konteks hari ini, PAS-PN memerlukan calon yang benar-benar berkaliber dan berwibawa.

Jelasnya lagi, Annuar Musa telah memilih wadah Islam iaitu PAS untuk meneruskan perjuangan politiknya. Disamping itu pengalaman Annuar Musa menerajui beberapa kementerian, mengurus parti (UMNO), kepetahan berhujah, pakar strategi, mudah berdamping dengan rakyat dan ‘track record’ Annuar Musa yang baik melayakkan beliau dicalon pada PRK Kemaman nanti.

Menurut Ridhuan Tee lagi, kehadiran Annuar Musa pasti akan menggoncangkan Parlimen, di kala PH BN ‘sibuk’ memancing Ahli Parlimen Bersatu. Nak pancing Ahli Parlimen PAS, tak bolehlah. Dalam PAS, walak ke atas parti sangat kuat, ditambah dengan bai’ah.

“Saya ulang kembali, hujah saya kenapa Annuar Musa perlu menjadi calon PAS PRK Parlimen Kemaman.

“Pertama, Annuar Musa telah memilih wadah Islam iaitu PAS untuk meneruskan perjuangan politiknya. Annuar Musa boleh sahaja, pilih wadah lain, tetapi PAS tetap jadi pilihannya. Kenapa? Tidak perlu saya hujahkan di sini. Sejak menyertai PAS, Annuar tidak minta apa-apa jawatan, melainkan untuk ‘menghambakan’ diri.

“Kelibat Annuar Musa sentiasa kelihatan dalam apa jua majlis PAS dan kempen-kempen PRU, PRN dan PRK. Beliau all out membantu PAS, tidak kira dalam keadaan apa, hujan panas, ribut taufan. Apakah walak Annuar Musa tidak terbukti lagi sejak menyertai PAS? PAS perlu berbesar hati dan memberikan penghargaan ini kepada Annuar Musa.

“Kedua, pengalaman politik (kepartian), Annuar Musa amat mahal harganya. Pengalaman ini tidak boleh dijual beli. Kepetahannya berhujah tidak usah dipertikaikan lagi. Terbukti dan menyerlah. Janganlah ditoleh lagi, ketika beliau memimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN). Tidak boleh dipertikai.

“Ketiga, pengalaman menjadi Menteri beberapa kementerian. Tidak perlu diulas lagi di sini. Cukup sekadar menoktahkan bahawa, pengalaman ini jarang terdapat dalam kalangan pimpinan PAS.

“Keempat, PAS memerlukan Ahli Parlimen yang mantap untuk berhujah di Parlimen. Annuar Musa berbeza dengan Ahli Parlimen lain, walaupun ‘bukan berlatarkelakangkan agama’, beliau turut dapat berperanan sebagai ustaz dalam PAS. Ayat-ayat al-Quran bermain dan meniti dibibirnya. Jika diberi peluang, berkhutbah pun boleh. Serba boleh.

“Kelima, Parlimen pasti akan bergegar dalam sidang yang akan datang jika Annuar Musa ada bersama. Sudah tentu kehadiran Annuar Musa akan menjadikan ultra kiasu menggeletar dengan kepetahannya berhujah.

“Keenam, ketika menjadi Menteri, gerak kerja Annuar Musa beliau berstrategi, menyeluruh, berkualiti. Beliau memainkan peranan yang begitu besar alam menyantuni rakyat dan keperluan negara. Contoh lain, ketika menerajui Persatuan Bola Sepak Kelantan sebagai presiden, Annuar Musa berjaya membawa pasukan itu ke mercu kejayaan persada bola sepak tanah air.

“Begitu juga, dalam tempoh sepenggal beliau menerajui dua kementerian iaitu Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Kementerian Multimedia dan Komunikasi (K-KOMM), terbukti kejayaan Annuar Musa, sehingga indeks pencapaian beliau ketika menerajui kementerian berkenaan secara langsung telah menarik dan menanamkan kembali sokongan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Ketujuh, Annuar Muda dekat di hati rakyat. Ketika menerajui Kementerian Wilayah Persekutuan, nasib peniaga kecil terpelihara dengan pengurangan karenah birokrasi dan sebagainya. Begitu juga, nasib gelandangan terbela, malah mereka diberi peluang untuk berdikari. Indeks kebahagiaan rakyat di Labuan dan Kuala Lumpur adalah yang tertinggi mengikut laporan Jabatan Perangkaan (DOSM). Ketika Covid melanda, kadar vaksinasi di wilayah adalah yang tercepat dan tertinggi.
Banyak lagi pencapaian besar lain.

“Kelapan, kejayaan dan track record sudah terbukti ketika menerajui K-KOMM, Annuar Musa telah membuktikan kejayaan dalam kelas yang tersendiri. Malaysia berjaya meraih kemenangan semula sebagai Ahli Majlis Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) untuk penggal 2023-2026. Ketika menjadi Menteri K-KOMM, perkara pertama yang dilakukannya ialah menjenamakan semula kementerian selaras dengan peranannya yang cukup penting dalam mendepani era digital masa kini.

“Kesembilan, PAS (PN) perlukan pemimpin yang kuat jati diri Islam dan Melayu. Kuat Islam sahaja tidak cukup, tanpa Melayunya, sebab ini negara asal usul Tanah Melayu. Ia perlu dipertahankan. Kuat Melayu pun tidak cukup tanpa Islamnya. Dua ciri ini ada pada Annuar Musa. Negara ini perlu dipimpin oleh mereka yang kuat jiwa Melayu Islamnya. Tidak tunduk sama sekali kepada ultra kiasu.

“Kesepuluh, saya bukan jenis orang membodek, tetapi mengenali Annuar Musa sekian lama, pernah sepentas berforum, berada dalam NGO Muafakat Nasional (MN), saya berani mengatakan, jika berlaku kekosongan jawatan Perdana Menteri (PM), Annuar Musa menepati ciri untuk mengisinya. Bukan menafikan yang lain, tetapi dari segi pengalaman dan umur, Annuar Musa, ada kelebihan.

“Kesebelas, Annuar Musa adalah individu penting yang memainkan peranan khususnya dalam membawa ke arah penyatuan parti Melayu, UMNO dan PAS sehingga wujudnya Muafakat Nasional,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau  menyerahkan kepada pucuk kepimpinan PAS untuk memikirkannya.

Ujarnya, sebagai penulis kerdil bidang politik, inilah strategi terbaik untuk PAS dan PN. Bukan menafikan calon sedia ada, tetapi saya lebih melihat kepada masa depan PAS dan PN dalam kekalutan ahli Parlimen Bersatu ada ura-ura melompat parti.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat