Henti label mana-mana ahli Parlimen kafir, zionis, Yahudi – Johari

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Semua wakil rakyat ditegur supaya berhenti menggunakan perkataan ‘kafir’, ‘zionis’ dan ‘yahudi’ bagi merujuk mana-mana Ahli Parlimen sepanjang perbahasan di Dewan Rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, turut mengingatkan Ahli Parlimen supaya berhenti mengeluarkan kenyataan yang mengeruhkan suasana, menyentuh sensitiviti keharmonian dan bersifat saling melabel.

Tegasnya, Ahli Parlimen perlu menjadikan kepentingan negara sebagai matlamat utama dan tidak menggunakan Dewan Rakyat sebagai medan politik kumpulan atau individu, selain menunjukkan kelakuan terpuji semasa mengetengahkan isu.

Justeru, beliau tidak akan bertolak ansur dan akan mengambil tindakan sekiranya isu dan perkataan dimaksudkan itu dibangkitkan lagi pada masa hadapan.

“Saya menyeru semua menghentikan isu dan penyataan ‘kafir’, ‘zionis’, ‘yahudi’ dan lain-lain perkataan sama maksudnya antara ahli Yang Berhormat yang mengeruhkan suasana serta menyentuh sensitiviti keharmonian, apatah lagi ketika ini suasana sangat tidak kondusif.

“Pada hari ini, saya mengajak ahli Yang Berhormat membuka lembaran baharu.

“Padamkanlah isu panas yang berlaku pada minggu lalu. Biarkanlah perbahasan ahli Yang Berhormat berlandaskan isu demi membela nasib rakyat di luar sana,” lapor BH pada Isnin.

Sementara itu, Johari dalam pemahsyurannya turut membangkitkan beberapa Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang melarang mana-mana Ahli Parlimen menggunakan perkataan atau penyataan yang tidak bersesuaian.

Antaranya, Peraturan Mesyuarat 36(10)(c) mengenai penggunaan perkataan menimbulkan perasaan sakit hati atau bermusuhan antara kaum di Malaysia.

Peraturan 23(1)(i) menyatakan suatu kenyataan tidak boleh dikeluarkan berkenaan betul atau tidaknya penerangan dalam akhbar atau dikeluarkan seseorang bagi dirinya sendiri.

Peraturan 36(9) menyatakan apa-apa perbahasan tidak boleh disebutkan kelakuan atau sifat sesiapa Ahli Parlimen atau pegawai kerajaan, selain daripada kelakuan ketika menjalankan urusan sebagai Ahli Parlimen atau pegawai kerajaan.

Mengulas lanjut, beliau mengingatkan Ahli Parlimen supaya tidak membangkitkan isu peribadi yang dibangkitkan atau dilaporkan di luar Dewan Rakyat.

“Saya memberi peringatan kepada ahli Yang Berhormat bahawa isu peribadi yang dibangkitkan dan dilaporkan di luar Dewan (Rakyat), hendaklah jangan dibawa dan diungkit di dalam Dewan.

“Isu peribadi yang dibangkitkan atau dilaporkan di luar Dewan (Rakyat), hendaklah diselesaikan di luar Dewan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat