Polis serbu makmal dadah di Georgetown, empat suspek ditahan

- Advertisement -

GEORGETOWN – Empat ditahan manakala satu makmal heroin dan syabu dikesan dalam enam serbuan ketika operasi terancang di sini, sejak Jumaat lalu dan berakhir tengah malam tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata suspek berusia antara 27 hingga 33 tahun itu dipercayai menjadikan sebuah banglo dua tingkat di Teluk Kumbar, dekat sini, sebagai tempat memproses dadah sejak awal tahun ini.

Katanya, suspek pertama berusia 27 tahun itu ditahan pada Jumaat kira-kira jam 9.10 malam di tepi jalan di Tanjong Tokong dan dipercayai adalah dalang sindiket memproses dan mengedar dadah.

“Selepas ditahan, suspek menyerahkan serangkai kunci membawa kepada penemuan 26 bungkusan plastik kuning berisi dadah dalam bonet belakang kereta yang diparkir di Jalan Macallum,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Kok Chin berkata, susulan penahanan lelaki itu pihaknya menyerbu sebuah banglo berpagar kira-kira jam 7.15 malam pada Sabtu lalu dan mendapati ia tidak berpenghuni.

Katanya, suspek kedua ditahan di Gelugor kira-kira jam 12.20 tengah malam Sabtu lalu manakala suspek ketiga dan keempat, masing-masing ditahan di Lebuh Sungai Pinang kira-kira jam 1 pagi hari sama.

Beliau berkata operasi bersepadu itu membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang dengan kerjasama JSJN Bukit Aman, Pasukan Khas Siasatan Bersepadu serta Cawangan Khas Bukit Aman dan Pulau Pinang.

Menurutnya, susulan penahanan suspek itu, pihaknya menemui dadah jenis heroin dan syabu yang disorok di dalam pelbagai jenis kereta di kawasan parkir tidak jauh daripada tempat mereka ditahan.

“Keseluruhan rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM1.87 juta. Ia merangkumi 49 ketul heroin `base` bernilai RM1.59 juta, 87 bungkusan dadah jenis heroin bernilai RM194,000, 1.57 kilogram syabu bernilai RM49,700 dan 94.4 kilogram (kg) serbuk kafein bernilai RM32,000.

“Modus operandi sekarang ialah barang tersebut (dadah) mereka letak dalam kereta yang diparkir di satu tempat. Jadi bila mereka tengok tiada apa-apa, baru mereka bawa atau pembeli sendiri datang ambil.

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan seramai 1,227,000 penagih atau 1,227,000 kali penggunaan. Polis percaya mereka mempunyai rangkaian dengan sindiket dadah dari negeri lain,” katanya.

Kok Chin berkata pihaknya turut menyita pelbagai barangan kemas berupa rantai leher, subang dan cincin bernilai RM32,435, wang tunai RM1,660, enam kereta pelbagai jenis dan dua motosikal selain merampas peralatan dan bahan kimia yang digunakan untuk memproses dadah.

“Dua daripada suspek masing-masing mempunyai dua rekod lampau membabitkan dadah serta kesalahan di bawah 147 Kanun Keseksaan dan 506 Kanun Keseksaan, namun hasil saringan urin semua mereka adalah negatif.

“Semua suspek direman selama tujuh hari sehingga Jumaat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat