SEREMBAN – Barisan Peguam Adat Melayu Negeri Sembilan menyembah mohon Majlis Raja-Raja meneliti keseluruhan proses krisis melibatkan kedudukan Yang di-Pertuan Besar dan Undang Luak bagi menilai sama ada tindakan yang diambil selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
Dalam kenyataan media, kumpulan yang diwakili Emirul Sarifudin Nor Azmi, Asmawi Ismail dan Deidra Nur Azmi itu berkata, krisis berkenaan perlu dinilai berdasarkan kronologi penuh, bermula dengan mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 5 Mac 2026, perkembangan pada 17 April dan keputusan empat Undang pada 19 April.
Menurut mereka, setiap peringkat mempunyai kaitan langsung dengan kedudukan Yang di-Pertuan Besar dan Undang Luak, justeru tidak wajar diteliti secara terpisah atau hanya berdasarkan perkembangan terkini.
Kumpulan itu berkata, penelitian juga perlu merangkumi pelucutan jawatan Undang Luak Sungei Ujong dan Undang Luak lain, selain persoalan penurunan takhta serta penggantian Yang di-Pertuan Besar.
Mereka berpandangan pihak yang mendakwa mempertahankan institusi raja tidak seharusnya memberi layanan berbeza kepada Yang di-Pertuan Besar dan Undang Luak yang terbabit dalam krisis tersebut.
“Sekretariat menyembah mohon limpah perkenan Majlis Raja-Raja agar meneliti proses yang telah berlaku bagi menilai dan memberi nasihat sama ada setiap tindakan yang diambil, khususnya berkaitan penurunan takhta dan penggantian Yang di-Pertuan Besar serta Undang Luak, telah dilaksanakan menurut peruntukan UUTKNS 1959,” menurut kenyataan itu.
Barisan peguam berkenaan menjelaskan permohonan mendapatkan penelitian dan nasihat Majlis Raja-Raja tidak bertujuan mengambil alih fungsi pihak berkuasa negeri di bawah undang-undang tubuh negeri.
Menurut mereka, Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja boleh meneliti proses yang berlaku serta memberi nasihat, sementara pihak berkuasa negeri terus menjalankan kuasa masing-masing menurut kerangka perlembagaan negeri.
Kumpulan itu mengaitkan permohonan tersebut dengan tafsirannya terhadap jaminan Persekutuan di bawah Perkara 71(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
Pada masa sama, mereka berpandangan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara tidak sewajarnya campur tangan dalam urusan kenaikan atau penurunan takhta yang, menurut mereka, diperuntukkan secara khusus di bawah UUTKNS 1959.
Barisan Peguam Adat Melayu Negeri Sembilan berharap Majlis Raja-Raja dapat meneliti perkara itu secara adil dan secepat mungkin bagi memelihara hak institusi raja serta keutuhan undang-undang tubuh negeri.


