RM90 Juta Terbukti Tak Masuk Akaun PAS, DAP Nak SPRM Siasat Apa Lagi? -Tuan Ibrahim

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Desakan DAP supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dana RM90 juta disifatkan sebagai tidak lagi relevan.

Hal ini memandangkan agensi itu pada Februari 2019 sudah mengesahkan tiada kemasukan dana 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM90 juta ke dalam akaun PAS seperti didakwa.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan tiada keperluan mengulang siasatan ke atas akaun PAS memandangkan hasil siasatan yang dijalankan SPRM tidak menjumpai apa-apa transaksi yang membuktikan dakwaan tersebut.

“SPRM keluar kenyataan buat apa nak suruh SPRM siasat lagi. SPRM dah keluar kenyataan bahawa akaun PAS tidak ada pun penerimaan RM90 juta seperti didakwa jadi SPRM tak perlu nak siasat, dah siap siasat pun.

“PAS dah dipanggil, SPRM datang Pejabat Agung dan dah siasat semua akaun-akaun PAS termasuk semua yang terlibat dan didapati tak ada pun dakwaan-dakwaan, fitnah RM90 juta tersebut.

“Saya fikir itu sudah memadai… apa lagi nak suruh SPRM nak siasat, mereka dah siasat pun dan mereka dah keluarkan kenyataan pun cuma saya ingat DAP ni tak dengar kot,” kata Tuan Ibrahim pada sidang media di Terengganu, malam tadi.

Terdahulu pada 9 September lalu, dilaporkan seorang ADUN DAP membuat laporan kepada SPRM terhadap Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang atas dakwaan rasuah, pengubahan wang haram dan pengelakan cukai.

Laporan SPRM itu dibuat selepas Pengerusi DAP Lim Guan Eng menggesa Hadi menjelaskan penyelesaian RM1.4 juta dengan Editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown dalam saman terhadapnya.

Saman itu susulan dakwaan Rewcastle Brown pada 2016 bahawa Umno didakwa memberi rasuah RM90 juta kepada PAS untuk mendapatkan sokongan parti Islam itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Saman itu akhirnya diselesaikan di luar mahkamah, dengan Hadi dilaporkan membayar Rewcastle Brown RM1.4 juta pada 2019.

ADUN Seri Delima Syerleena Rashid membuat laporan itu di ibu pejabat SPRM di Pulau Pinang.

Pun begitu, Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air sekali lagi menegaskan, PAS tidak menerima dana tersebut dan SPRM juga sudah mengesahkan perkara itu.

“Jadi anggap ini fitnah-fitnah yang sengaja diwujudkan untuk menimbulkan keraguan soal integriti PAS. Bagi PAS kita bersih, SPRM dah siasat, dah datang Pejabat Agung dah tengok semua akaun kita dan dibuktikan, cukuplah.

“Saya tak tahu duit itu ada, tak ada, memang tak ada pun. RM90 juta ini jumlah yang besar, takkanlah Bank Negara Malaysia (BNM) tak tahu, mustahil lah. Satu jumlah yang besar begitu tak ada dalam akaun keluar masuk duit, negara kita ada prosedur.

“…dan mustahil BNM tak tahu sejumlah RM90 juta keluar – masuk mana-mana akaun, mustahil,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim memaklumkan PAS sudah di ‘gear akhir’ untuk mendepani PRU-15.

“Sekarang parti masih tunggu tarikh PRU-15, negeri-negeri dah sedia sepenuhnya.

“PAS di ‘gear akhir’ dah ready sepenuhnya dari segi jentera,” kata beliau.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat