Mungkin wang suapan dikongsi tiga saksi penting berdasarkan gaya hidup mewah mereka – hakim

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa menyatakan terdapat kemungkinan wang suapan yang dikatakan dibayar kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diagihkan kepada tiga saksi utama pendakwaan, yang dilihat melalui gaya hidup mewah mereka.

Mohd Yazid dalam penghakimannya berkata ruangan komentar yang dibiarkan kosong pada lejar syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) menimbulkan kemungkinan rumusan (wang suapan diagihkan kepada saksi) seperti yang dicadangkan oleh peguam bela Presiden Umno itu.

BH melaporkan ketiga-tiga saksi utama pendakwaan itu adalah bekas Pengarah UKSB Harry Lee Vui Khiun (saksi pendakwaan ke-15) dan Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani (saksi pendakwaan ke-16) serta bekas pengurus pentadbiran UKSB David Tan Siong Sun (saksi pendakwaan ke-17).

Mohd Yazid yang membacakan penghakiman lebih daripada dua jam berkata, setiap daripada saksi itu memiliki satu unit hartanah di Pavilion di mana Wan Quoris juga memiliki seunit banglo di Putrajaya, satu unit kediaman berkembar di Cyberjaya, dua kenderaan Range Rover dan motosikal mewah serta membayar cukai berjuta-juta ringgit.

Hakim itu menjelaskan, tanpa bukti sokongan yang kukuh, beliau tidak boleh membuat penemuan bahawa wang berkenaan sebenarnya diterima oleh Ahli Parlimen Bagan Datuk itu seperti yang dicadangkan oleh pendakwaan berdasarkan transaksi direkodkan dalam lejar (tanpa bukti rekod) melalui tanda nota ‘Z’ dan ‘ZH’.

Selanjutnya, Mohd Yazid berkata, Vui Khun dan Wan Quoris dalam keterangan mereka ketika disoal balas bersetuju bahawa tiada bukti bebas yang menyokong keterangan mereka bahawa wang itu sebenarnya dibayar kepada Zahid.

Amat mengejutkan bahawa Siong Sun iaitu individu yang membuat lejar UKSB, mengakui ketika disoal balas bahawa penyerahan kedua wang suapan berjumlah RM3 juta yang dimasukkan dalam sebuah bagasi adalah keterangannya yang difikirkan kemudian.

“Pengakuan saksi utama pendakwaan itu adalah lebih daripada mencukupi bagi mahkamah untuk memutuskan bahawa beliau adalah seorang saksi yang langsung tidak berwibawa.

“Untuk lebih menyokong dapatan saya, saksi itu dalam keterangannya berkata beliau akan merekodkan pembayaran pada hari sama atau sehari kemudian, bagaimanapun ditunjukkan bahawa hampir semua komentar pada kolum dalam lejar itu dibiarkan kosong.

“Vui Khiun pula bersetuju bahawa komentar pada kolum di lejar tidak menggambarkan bahawa wang berkenaan dibayar kepada tertuduh,” katanya.

Mohd Yazid berkata, pendakwaan juga gagal mengemukakan bukti Kamera Litar Tertutup (CCTV) gagal memanggil pemandu kepada tiga saksi utama, pengawal di kediaman Zahid di Sri Satria dan Country Heights; dan gagal mengemukakan bukti slip transaksi Touch and Go, log panggilan telefon dan mesej dengan tertuduh.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
230,282FollowersFollow
27,497FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat