Malaysia Di Landasan Tepat Ke Arah Kelestarian Menjelang 2050 – Tengku Zafrul

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Malaysia berada di landasan yang tepat ke arah kelestarian menjelang 2050 apabila setakat ini sekurang-kurangnya 44 daripada 54 Dana Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) telah diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam masa dua tahun.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kerajaan komited dalam melaksanakan projek dan program pembangunan yang mengutamakan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Menerusi Laporan Kewangan Rakyat Ke-112 yang dikeluarkan pada Jumaat, beliau berkata dalam mencapai matlamat untuk menjadi negara neutral karbon seawal 2050, Malaysia akan bekerjasama dengan negara Asia dengan visi yang sama melalui Komuniti Pelepasan Sifar Asia.

“Pada akhir Disember 2021, 94 peratus daripada 50 syarikat di Malaysia telah mengadaptasi Strategi ESG dan 68 peratus mempunyai Dasar Pengurangan Pelepasan. Aset ESG global dianggarkan melebihi US$53 trilion menjelang 2025, melebihi satu pertiga daripada US$140.5 trilion unjuran jumlah aset yang diuruskan,” katanya.

Beliau berkata seiring dengan pemerkasaan Rancangan Malaysia Ke-12, syarikat perlu mempraktikkan elemen ESG, membuka peluang dan akses kepada pembiayaan berkaitan kemampanan dan pelaburan, serta menerima insentif untuk program berfokuskan ESG.

Antara langkah yang telah diambil kerajaan bagi mencapai matlamat berikut ialah melalui pelaksanaan Prinsip Tadbir Urus Baik untuk Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (PGG), katanya.

Beliau berkata PGG termasuk, antara lain, pengesyoran untuk mewujudkan struktur tadbir urus untuk pengawasan elemen ESG dalam strategi pelaburan masa hadapan.

“Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) secara kolektif menguruskan RM1.7 trilion aset, sekali gus mempunyai pengaruh yang besar dalam konteks membimbing dan memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam Ekosistem GLIC untuk menerima prinsip ESG.

“TNB dan Petronas telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) baru-baru ini untuk mengukuhkan kerjasama dalam memajukan penyelesaian penyahkarbonan yang inovatif, untuk menyokong matlamat untuk menjadi negara neutral karbon menjelang 2050,” katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata secara keseluruhannya, kerajaan telah menyalurkan sebanyak RM20.958 bilion kepada 357,988 majikan melalui Program Subsidi Upah (PSU) bagi mengekalkan penggajian 2,960,265 pekerja tempatan dalam usaha untuk mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan pekerja warganegara Malaysia.

Beliau berkata bagi Malaysia Short-Term Employment Programme (MySTEP) tahun ini, sebanyak 63,593 personel telah berjaya ditempatkan setakat 2 Sept, 2022 dengan 36,781 personel telah ditempatkan di sektor awam manakala 26,812 personel pula ditempatkan di syarikat berkaitan kerajaan dan rakan-rakan strategiknya.

“Di bawah Bajet 2022, MySTEP menawarkan 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak merangkumi 50,000 pekerjaan dalam sektor awam dan 30,000 pekerjaan dalam GLC dan rakan-rakan strategik mulai Januari 2022.

“Pada 2021, MySTEP telah bejaya mencapai sasaran keseluruhan 50,000 peluang pekerjaan bagi 2021 dengan menempatkan sebanyak 63,221 personel. Daripada jumlah ini, sebanyak 41,680 personel telah berjaya ditempatkan di sektor awam manakala 21,541 personel pula ditempatkan di GLC dan rakan-rakan strategiknya,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
230,282FollowersFollow
27,499FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat