Johor Capai Sasaran 70 Pingat Emas, Intai Peluang Cipta Rekod Baharu SUKMA

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Prestasi ditunjukkan kontinjen Johor cukup luar biasa apabila mencapai sasaran baharu 70 pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2022, sekali gus meletakkan mereka di landasan terbaik muncul juara keseluruhan buat pertama kalinya.

Pingat emas ke-70 kontinjen Harimau Selatan itu hari ini hadir menerusi atlet angkat berat wanita, Sonia Cassendra Masne yang mengungguli acara 81 kilogram (kg) ke atas dengan angkatan keseluruhan 208kg.

Ketua kontinjen Johor, Datuk Mohamad Najib Samuri, berkata mereka kini mengintai peluang untuk mengutip lebih 80 emas bagi mencipta rekod baharu temasya sebagai negeri paling banyak memenanginya sejak diperkenalkan pada 1986.

Rekod sebelum ini dipegang Selangor selaku tuan rumah pada edisi 1998 dengan mengutip 80 emas.

“Kalau kami berjaya melepasi 80 emas, kami akan cipta rekod baharu. Bukan sesuatu yang mustahil dan saya percaya atlet akan terus berjuang sehingga hari terakhir, esok.

“Apa pun, saya sangat berbangga dengan pencapaian atlet setakat ini. Mereka semua menunjukkan prestasi yang sangat baik, kalau ikutkan lebih 70 peratus berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan Majlis Sukan Negeri,” katanya.

Setakat jam 4 petang hari ini, kanu menjadi penyumbang emas terbesar buat kontinjen Johor apabila berjaya memenangi 20 sekali gus mencapai sasaran ditetapkan. Ia diikuti olahraga (sembilan), berbasikal (11), wushu (enam), renang (enam), menembak (lima), memanah (dua), judo (dua), silat (dua), karate (satu), angkat berat (dua), e-sukan (satu) dan petanque (satu).

Kelmarin, Johor menetapkan sasaran baharu 70 emas dalam misi muncul juara keseluruhan selepas berjaya menepati sasaran awal yang ditetapkan 40 emas.

Sebagai rekod, Johor tidak pernah muncul juara keseluruhan SUKMA sejak diperkenalkan pada 1986 dengan pencapaian terbaik adalah mengakhiri saingan di kedudukan kedua keseluruhan pada 1992 ketika menjadi tuan rumah dengan mengutip 20 emas.

Bagaimanapun, dari segi pencapaian pingat pula, Johor mengumpul emas terbanyak pada edisi 2010 di Melaka dengan meraih 40 emas sekali gus menyaksikan pencapaian diraih setakat jam 3.30 petang hari ini sudah melepasi rekod terbaik buat negeri berkenaan.

Pada edisi di Perak empat tahun lalu, Johor mengakhiri saingan dengan di kedudukan kesembilan selepas mengumpul 29-34-37 dengan Terengganu muncul juara buat kali kelima dengan meraih 56-51-53. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat