Zahid tiada perasaan ketika terima cek RM15.25 juta untuk Yayasan Akalbudi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi, hari ini, beliau tidak mempunyai perasaan ketika menerima cek berjumlah RM15.25 juta daripada seorang ahli perniagaan kerana ia bukan untuk kegunaan peribadi, sebaliknya untuk amal kebajikan.

Dalam pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd ‘Afif Ali, bekas Timbalan Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, cek sumbangan daripada Junaith Asharab Md Shariff, yang juga pemborong tekstil itu adalah bagi membangunkan masjid dan sekolah tahfiz di kawasan Parlimennya.

Berita Harian melaporkan, beliau hanya mengucapkan terima kasih dan tidak perlu berasa gembira apabila menerima cek menerusi Yayasan Akalbudi (YAB) yang diasaskannya yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun firma guaman Tetuan Lewis & Co.

Ahmad Zahid juga tidak mempersoalkan sumber sumbangan itu daripada mana, selain sama ada ia wang pinjaman atau curi.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berdepan 47 pertuduhan, dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit dana milik YAB.

Sementara itu, ketika pemeriksaan balas oleh seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aishah Ahmad Zakiuddin, Ahmad Zahid berkata, dana RM1.3 juta YAB diberikan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2015, adalah berbentuk pinjaman bukan tajaan.

Beliau berkata, dana itu diminta oleh menantunya, yang juga ahli perniagaan, Datuk Zul Hisham Zainal, sebagai bantuan kewangan kepada pemain serta kakitangan persatuan bola sepak itu yang sudah empat bulan tidak dibayar gaji.

Katanya, permintaan dana berkenaan dibuat secara lisan tanpa permohonan bertulis dan pembentangan kertas kerja.

Ahmad Zahid juga bersetuju ketika diajukan soalan bahawa permohonan dana tersebut tidak dibawa kepada persetujuan pemegang amanah YAB iaitu Muhammad Nabil Salleh dan Datuk Khairuddin Tarmizi.

Selain itu, ketika Nur Aishah mengajukan soalan sama ada dana YAB tidak boleh diberi kepada PDRM kecuali persatuan orang miskin, Ahmad Zahid tidak bersetuju dengan kenyataan itu.

Ditanya sama ada pemain bola sepak dan kakitangan persatuan berkenaan dikategori bukan fakir miskin, Ahmad Zahid berkata, sekiranya tidak mendapat gaji mereka akan menjadi fakir miskin.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin depan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat