Kesejahteraan rakyat jadi teras Bajet 2023 – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Mengambil kira cabaran yang bakal dihadapi pada tahun 2023, kerajaan akan memastikan Bajet 2023 disedia berteraskan kesejahteraan dan kebajikan rakyat segenap lapisan masyarakat.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam konsultasi Bajet 2023 antara tumpuan utama adalah untuk memastikan pemulihan pasca Covid-19 turut mewujud peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan rakyat serta kelangsungan perniagaan.

“Dalam menghadapi ketidaktentuan global, Bajet 2023 turut memberi tumpuan kepada golongan rakyat yang memerlukan bantuan dengan menambah baik sistem perlindungan sosial serta meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat melalui perkhidmatan kesihatan dan pendidikan berkualiti.

“Kerajaan turut memberi tumpuan kepada persekitaran hidup yang selamat dan selesa dengan menitikberatkan pembangunan yang inklusif dan mapan.

“Ia bertujuan agar semua ahli Keluarga Malaysia dapat menikmati manfaat pembangunan negara pada masa kini dan hadapan tanpa mengira komuniti atau tempat tinggal,” katanya pada Majlis Konsultasi Bajet 2023 di Kementerian Kewangan pada Selasa.

Perdana Menteri juga difahamkan beberapa isu dan cadangan telah diutarakan seperti pemberian subsidi dan perlindungan sosial; kelangsungan perniagaan dan kemampanan industri termasuk mengurang kos menjalankan perniagaan; dan meningkatkan pembangunan sumber manusia dan tenaga mahir, produktiviti, teknologi dan digitalisasi dalam perniagaan.

“Terdapat juga cadangan untuk memperkukuh kerjasama pelbagai pihak untuk mempercepat pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan (SDG) menjelang 2030 di peringkat nasional.

“Jalinan kerjasama ini juga berperanan sebagai pemangkin kepada kesejahteraan sosioekonomi Keluarga Malaysia. Cadangan-cadangan tersebut selari dengan bidang fokus bajet dan akan diperincikan untuk dirangka langkah Bajet 2023 yang sesuai,” katanya.

Ujar Ismail Sabri lagi majlis ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk melibatkan semua pihak berkepentingan dalam proses penyediaan bajet untuk rakyat demi kesejahteraan Keluarga Malaysia

“Kementerian Kewangan akan mengadakan siri mesyuarat kumpulan fokus untuk membincangkan bidang-bidang terpilih.

“Sebagai pelengkap kepada Majlis Konsultasi Bajet pada hari ini, seluruh Keluarga Malaysia dijemput untuk mengemukakan cadangan di dalam Portal Cadangan Bajet 2023 dengan melayari laman web Kementerian Kewangan,” kata beliau.

Ismail Sabri memberitahu, demi kesejahteraan rakyat, kerajaan telah melaksanakan langkah mengawal harga barangan serta menambah baik bantuan dan subsidi barangan asas.

“Hasil daripada tindakan kerajaan, kadar inflasi untuk separuh tahun pertama 2022 kekal pada tahap terkawal 2.5 peratus.

“Tindakan kerajaan tersebut telah meningkatkan perbelanjaan bantuan dan subsidi kepada RM77.7 bilion berbanding peruntukan Bajet 2022 sebanyak RM31 bilion.

“Tanpa bantuan dan subsidi kerajaan, dianggarkan kadar inflasi negara akan mencecah sebanyak 11.4 peratus,” jelas Perdana Menteri.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat