Otai guna kuasa veto

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Baru episod pengenalan, program realiti Terpaling Juara yang disiarkan TV3, malam kelmarin mencipta kejutan apabila proses memilih peserta yang sepatutnya dibuat tiga kapten, diambilalih juri tetap.

Insiden berlaku apabila Datuk Hattan sebagai juri tetap, tidak berpuas hati dengan kedudukan peserta apabila dua penyanyi senior iaitu Rahmad dan Ifa Raziah diberi kepada Akim Ahmad iaitu seorang daripada tiga kapten terbabit.

Dua lagi peserta junior iaitu Aqeesh dan Aqmal diletakkan bersama pasukan Naim Daniel.

Justeru dengan kuasa veto yang diberi, Hattan bukan sahaja berhak mengetepikan keputusan yang dibuat, sebaliknya ada kuasa untuk menentukan peserta mana yang sesuai untuk dibimbing ketiga-tiga kapten dilantik.

Mengulas tindakan spontan itu, Hattan menjelaskan pertukaran itu perlu dilakukan bagi memberi cabaran kepada peserta dan kapten dalam menghasilkan persembahan terbaik setiap minggu.

“Pada saya, keputusan asal tidak kena. Rahmad yang diletakkan sama kumpulan dengan Akim masing-masing mempunyai genre muzik serupa.

“Program ini memerlukan cabaran. Saya tidak nampak di mana cabarannya jika mereka berada dalam pasukan sama.

“Disebabkan itu, saya letakkan Hazami di bawah kumpulan Akim. Secara tidak langsung, situasi itu dapat memberi cabaran kepadanya untuk membimbing penyanyi yang mempunyai vokal seperti Hazami,” katanya pada sidang media selepas episod pertama Terpaling Juara yang disiarkan secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, kelmarin.

Selain Akim dan Naim, seorang lagi kapten yang akan membimbing dua peserta adalah Hael Husain.

Hattan berkata, faktor lain yang membuatkan dia terpaksa membuat perubahan adalah disebabkan keputusan asal bertentangan dengan format program realiti terbabit.

“Sepatutnya, setiap kapten mendapat seorang peserta senior dan seorang lagi junior. Keputusan asal yang dibuat tidak seimbang kerana ada kapten yang mendapat dua peserta senior dan junior.

“Sebelum ini, pihak produksi meminta saya memikirkan pasukan bayangan. Apabila saya lihat seakan ada yang tidak kena kena dengan pemilihan dibuat, saya terpaksa campur dan meletakkan setiap peserta mengikut apa yang ada dalam fikiran,” ujar penyanyi Memburu Rindu ini.

Mengulas keputusan juri, penerbit program, Azrul Effendi Abdullah menjelaskan Hattan berhak berbuat demikian melalui kuasa veto yang diberi kepada juri.

“Memang ada perbincangan awal untuk memberi kebenaran kepada juri tetap campur tangan jika mereka tidak bersetuju dengan keputusan dibuat mengikut kuasa mutlak yang diberi kepada mereka.

“Disebabkan Hattan sudah menggunakan hak yang diberi hari ini (kelmarin), maka dia tidak boleh lagi menggunakan kuasa itu pada masa akan datang.

“Bagaimanapun, seorang lagi juri tetap iaitu Fauziah Latiff masih boleh menggunakan haknya jika dia mahu membuat pertukaran peserta.

“Namun, keputusan itu perlu mendapat persetujuan bersama. Ini bermakna kedudukan peserta hari ini tiada jaminan untuk kekal,” katanya.

 

Membuka tirai, Hattan menyanyikan lagu Mahligai Syahdu, manakala Fauziah Latiff atau Jee mendendangkan lagu Teratai Layu Di Tasik Madu. - NSTP/Genesh Gulitah
Membuka tirai, Hattan menyanyikan lagu Mahligai Syahdu, manakala Fauziah Latiff atau Jee mendendangkan lagu Teratai Layu Di Tasik Madu. – NSTP/Genesh Gulitah

 

Sementara itu, Naim menyifatkan pemilihan dibuat Hattan menambah warna kepada setiap kumpulan yang bersaing.

“Naim fikir percaturan yang dibuat Hattan tampak seimbang dan memberi warna kepada pasukan. Kena ada dinamik antara penyanyi senior dan junior.

“Naim berlapang dada dengan apa sahaja keputusan dibuat kerana masing-masing ada taring tersendiri,” katanya yang mendapat Ifa Raziah dan Aqmal sebagai peserta.

Bagi Akim pula, peluang bekerja dengan Hazami memberi cabaran terbesar buatnya.

“Saya memang meminati Hazami dan lagu Setulus Cintamu versinya adalah lagu yang kerap saya nyanyikan di karaoke.

“Apabila Hazami berada dalam kumpulan saya, sudah tentu saya rasa teruja. Dia penyanyi hebat dan disebabkan itu, saya akui agak takut untuk menegur nyanyiannya jika ada yang perlu diperbetulkan.

“Namun, pengalaman bekerja dengan ramai penyanyi senior mengajar saya menerapkan soal adab dalam mengajar,” katanya yang turut mendapat Aqeesh sebagai anak didik.

Menyifatkan cukup bertuah kerana mendapat peserta seperti Rahmad dan Shaz, Hael tidak melihat tugasnya sebagai kapten untuk mengajar semata-mata.

“Kita berada dalam program ini untuk sama-sama berkongsi ilmu.

“Saya akan berkongsi dengan peserta ilmu yang perlu ada pada era sekarang. Saya juga mahu belajar daripada mereka bagaimana hendak mengekalkan populariti.

“Pada pertandingan ini, bagi saya, apa yang penting adalah kepuasan. Jika seorang penyanyi itu puas dengan persembahannya dan menerima maklum balas positif daripada peminat, itu adalah suatu kemenangan buat mereka,” kata penyanyi Jampi ini.

Rahmad Mega diumum pemenang Persembahan Terbaik dan membawa pulang wang tunai RM5,000.

Dikendalikan pasangan pengacara, Haziq Hussni dan Shiha Zikir.

Pemenang Terpaling Juara bakal membawa pulang hadiah berjumlah RM100,000, naib juara RM50,000 dan pemenang ketiga RM30,000.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
230,282FollowersFollow
27,498FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat