Bintang bola sepak teraju utama Anak Rimau The Movie

- Advertisement -

Kuala Lumpur: Mengetengahkan lebih 2,000 pelakon tambahan, filem Anak Rimau The Movie mampu memberi inspirasi kepada ibu bapa menggilap bakat dan potensi golongan anak muda dalam dunia sukan bola sepak.

Bukan sekadar berlatarkan sukan bola sepak, filem Anak Rimau The Movie terbitan Keeklr Films Sdn Bhd mengangkat semangat dan perjuangan generasi baharu dalam mengejar impian sebagai pemain bola sepak.

Penerbitnya, Fadzil Manap, berkata Anak Rimau The Movie mengetengahkan nilai positif membabitkan semangat berpasukan, kegigihan dan sikap tidak berputus asa dalam kalangan generasi muda untuk berjuang mencapai cita-cita.

“Banyak mesej penting yang mahu disampaikan dalam filem ini. Ia juga sarat dengan elemen perpaduan, semangat nasionalisme, patriotik dan kepelbagaian kaum, sekali gus sesuai untuk tontonan pelbagai kaum di Malaysia,” katanya.

Mengetengahkan bakat baharu, Idan Aedan dan dua pemain bola sepak kategori bawah 14 tahun dari Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Ahmad Daniel Hakimi Ahmad Azmil @ Kechikimi dan Hanz Daniel Skelchy, filem yang menelan belanja RM5.5 juta itu turut menampilkan aktor terkenal, Beto Kusyairy, Azhan Rani dan Adam Corrie.

Turut membintangi, Taiyuddin Bakar, Mustakim Bahadon, Megat Sharizal dan barisan pemain bola sepak AMD iaitu Izz Qhuzaidie Mazni Alif Aiman Mohamad, Amil Haikal Rozmi, Nazwan Abdullah, Nur Qayyum Irfan Jamil, Airiel Zafran Mohd Azrul, Al Kausal Jarah, Shahmeer Rusli dan Adam Shauki Asmady.

Tidak ketinggalan, penampilan anak saudara Sultan Pahang, iaitu Wan Omar Daanyal Wan Ahmad Muadzam.

Kongsinya, bukan mudah menghasilkan filem menampilkan barisan pelakon muda yang tiada asas dalam bidang lakonan.

 

Beto teraju utama filem Anak Rimau Teh Movie
Beto teraju utama filem Anak Rimau Teh Movie

 

“Justeru, Keeklr Films mendapatkan khidmat guru lakonan, Fatimah Abu Bakar yang banyak membantu dari aspek emosi, penghayatan watak, menghafal dialog dan sebagainya.

“Selain itu, jurulatih AMD, Osmera Omaro turut menjadi penasihat kepada pelakon muda di lokasi penggambaran.

“Alhamdulillah, saya berpuas hati dengan prestasi lakonan ditampilkan barisan pemain bola sepak muda AMD termasuk aspek komitmen dan disiplin tinggi diberikan ketika penggambaran filem ini pada 2019,” katanya yang mengetengahkan bakat 11 pemain bola sepak kategori bawah 14 tahun dari AMD.

Mengulas penggambaran filem, Fadzil berkata, idea menghasilkan filem tercetus pada April 2018, namun, penggambaran dimulakan tiga bulan kemudian membabitkan lokasi sekitar Pahang.

Bagaimanapun, penggambaran filem arahan Areel Abu Bakar itu selesai pada Ogos 2019.

“Filem Anak Rimau The Movie menjalani penggambaran selama 60 hari di beberapa lokasi menarik seperti Pulau Tioman, Kuantan, Sungai Lembing, Beserah dan AMD.

“Selain cabaran dari segi cuaca panas terik dan hujan, kami terpaksa menggunakan khidmat feri untuk penggambaran di Pulau Tioman.

“Kami juga memiliki lokasi pantai di Beserah. Namun, penggambaran berdepan mencabar apabila perlu mengusung peralatan masuk Hutan Lipur Pandan, Kuantan ketika menjalani penggambaran di Air Terjun Panching.

“Kos membabitkan bajet besar disebabkan menggunakan khidmat lebih 2,000 pelakon tambahan, termasuk remaja dan pelajar sekolah, terutama untuk babak dalam stadium.

“Lebih menarik, filem ini tidak menggunakan teknik imej janaan berkomputer (CGI),” katanya.

Filem Anak Rimau The Movie yang sepatutnya ditayangkan pada 2020, namun, ditangguhkan berikutan penularan pandemik COVID-19 mendapat sokongan Cyberlynx International College selaku penaja utama, manakala Al-Ikhsan Sports pula sebagai penaja pakaian sukan rasmi.

Ditanya mengenai sasaran filem, Fadzil berharap Anak Rimau The Movie boleh menjadi inspirasi kepada anak muda yang mempunyai cita-cita bergelar pemain bola sepak.

“Selain itu, kami juga mengharapkan naskhah ini juga mampu meningkatkan semangat patriotik dalami kalangan generasi muda, bertepatan dengan Hari Kemerdekaan Ke-65, selain membantu pembangunan sukan bola sepak tanah air.

“Anak Rimau The Movie akan ditayangkan serentak di 68 pawagam di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam pada 1 September ini,” katanya.

Selain itu, lagu tema berjudul Pentas Dunia ciptaan Bajai dan lirik oleh Amylea Azizan turut dinyanyikan barisan pelakon seperti Idan, Kechikimi, Hanz Daniel, Wan Omar Daanyal, Joel Law dan Hakeem. Video muziknya sudah dilancarkan menerusi laman YouTube sejak 7 Julai lalu.

Filem berkenaan dihasilkan menerusi usaha sama dengan Majlis Sukan Negara (MSN), Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan AMD dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Harian Metro

 

Previous article‘Hero’ waktu malam
Next articleOtai guna kuasa veto
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
230,282FollowersFollow
27,498FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat