SABAH, – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini memeterai kerjasama strategik bagi mempercepat transformasi sistem kesihatan digital negara, khususnya bagi memperluas akses perkhidmatan kesihatan di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Melalui kolaborasi ini, satu projek perintis penghantaran ubat menggunakan dron akan dilaksanakan di Sabah, dengan Klinik Kesihatan Tawau menjadi pusat utama penghantaran kepada dua Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) berhampiran.
Sabah dipilih berdasarkan kekuatan liputan rangkaian 4G (94.4%) dan 5G (69%) serta cabaran geografi yang memerlukan penyelesaian inovatif bagi menjamin kesinambungan rawatan dan bekalan ubat untuk rakyat.
Lapan Inisiatif Strategik Kesihatan Digital
Sebanyak lapan inisiatif utama akan dilaksanakan di bawah kolaborasi ini:
- Penyediaan prasarana komunikasi untuk sistem kesihatan masa depan.
- Perlengkapan sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) di klinik kesihatan, termasuk klinik desa dan klinik komuniti.
- Penyediaan kiosk telekesihatan di Pusat NADI.
- Penghantaran ubat menggunakan dron ke kawasan sukar akses.
- Pelaksanaan keselamatan siber di fasiliti kesihatan.
- Geran pengadaptasian sistem EMR.
- Penubuhan Hab Inovasi Hospital Pintar.
- Pemerkasaan penglibatan Malaysia dalam platform kesihatan digital global.
Menurut kenyataan bersama, inisiatif ini akan memanfaatkan rangkaian 1,099 Pusat NADI di seluruh negara, yang kini menjadi pintu masuk utama kepada perkhidmatan e-Kesihatan dan kesalinghubungan digital di luar bandar. Penduduk setempat akan memperoleh akses kepada perundingan maya dengan doktor melalui kiosk-kiosk yang disediakan.
Kesihatan Digital Lebih Inklusif dan Cekap
Sistem EMR dan platform konsultasi berasaskan pengkomputeran awan juga akan memudahkan rawatan susulan, pemantauan pesakit secara maya, dan penghantaran ubat ke kawasan terpencil selari dengan aspirasi “1 Individu, 1 Rekod”.
KKM dan MCMC turut komited meningkatkan literasi digital kesihatan dalam kalangan rakyat, bagi menjamin keyakinan pengguna terhadap keselamatan dan keberkesanan sistem digital ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, inisiatif ini mencerminkan pendekatan inovatif kerajaan dalam memperkukuh sistem kesihatan awam.
“Kerjasama ini bukan sahaja signifikan dalam mendepani cabaran kesihatan semasa, tetapi juga memastikan keadilan akses kepada rawatan terutamanya bagi rakyat di kawasan yang selama ini berdepan kekangan geografi,” jelas beliau.
Kolaborasi KKM dan MCMC ini dijangka menyumbang kepada aspirasi Kerajaan MADANI untuk menjadikan Malaysia sebagai hab inovasi kesihatan digital serantau yang inklusif, cekap dan mampan.



