KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad enggan menerima imuniti dalam kes berkait Suruhanjaya Diraja (RCI) Pulau Batu Puteh.
Bekas Perdana Menteri itu sebaliknya mahu membuktikan di mahkamah bahawa beliau tidak bersalah sekali gus menyanggah dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Semalam di Dewan Rakyat, saya telah dijatuh hukum sebagai bersalah di dalam kes berkait tidak buat rayuan untuk Pulau Batu Putih. Walaupun saya dijatuhi hukum bersalah tiada sebarang tindakan akan diambil kerana faktor umur saya.
“Yang hukum saya bersalah ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar dan yang umum saya tak perlu diambil tindakan ialah Datuk Seri Anwar. Ini bermakna Datuk Seri Anwar bukan sahaja PM, dia juga hakim dan juga pendakwa raya. Begitulah hebat kuasanya. Tetapi Perlembagaan tidak sebut Perdana Menteri boleh jadi pendakwa raya atau hakim,” bidas Dr Mahathir.
Menurut beliau, kenyataan Anwar itu seolah-olah menggambarkan beliau memberikan imuniti kepada Dr Mahathir meskipun didapati bersalah isu Pulau Batu Puteh namun digugurkan kerana faktor lanjut usia.
“Dia kata umur saya 100 tahun kerana itu saya tidak didakwa walau bersalah. Ini maknanya saya dapat imuniti.
“Saya tidak mahu imuniti. Jika tuduh saya bersalah, hadapkan saya di mahkamah dan buktikan saya bersalah. Saya tahu saya tak bersalah dan saya mahu buktikan.
“Imuniti untuk orang yang takut ke mahkamah disebabkan sedar dirinya bersalah,” tegas Dr Mahathir.
Semalam Perdana Menteri memberitahu, Kabinet memutuskan tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu Pulau Batu Puteh atas faktor usianya yang sudah lanjut.
Perdana Menteri menegaskan, kerajaan bagaimanapun berpendirian Dr Mahathir tetap bersalah kerana keputusan beliau sebagai Perdana Menteri pada 2018 yang melepaskan Pulau Batu Puteh dengan begitu mudah kepada Singapura.
“Kita ambil keputusan kerana ia membabitkan bekas Perdana Menteri, yang usianya 100 tahun.
“Apakah beliau tidak salah? Beliau salah. Apakah perlu ambil tindakan? Saya di Jemaah Menteri, saya bersetuju jangan ambil tindakan.
“Jika ambil tindakan, Kota Bharu (merujuk Datuk Seri Takiyuddin Hassan) yang akan jerit kata kita tidak adil tapi saya tanpa membabitkan soal ini kerana usianya sudah 100 tahun.
“Salah besar dalam hal ini tetapi kita tak payahlah teruskan (ambil tindakan),” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, pada Selasa.



