KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah meluluskan 250,512 kenderaan pengangkutan darat awam dan barangan melibatkan 88,900 syarikat di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
KPDN dalam jawapan bertulis di Dewan Negara menjawab soalan Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya memaklumkan, sehingga 16 Julai 2024, sejumlah 250,512 kenderaan pengangkutan darat awam dan barangan melibatkan 88,900 syarikat telah diluluskan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
“Pemilihan kenderaan- kenderaan di bawah SKDS 1.0 adalah terdiri daripada 10 jenis kenderaan pengangkutan darat awam manakala di bawah SKDS 2.0 sebanyak 23 jenis kenderaan pengangkutan darat barangan.
“Kesemua tiga kenderaan ini dikenal pasti yang terlibat secara langsung melalui rantaian pembekalan barang-barang keperluan (essentials),” kata KPDN.
Jelasnya, antara jenis kenderaan essentials di bawah kenderaan pengangkutan darat awam adalah bas ekspres, bas henti-henti dan bas sekolah.
Manakala di bawah kenderaan pengangkutan darat barangan adalah penggerak utama/ articulated vehicle, lori rigid kargo am dan lori rigid -hasil pertanian.
“Kriteria kelayakan fleet card di bawah SKDS 2.0 adalah melibatkan syarikat yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (Semenanjung Malaysia); kenderaan di bawah pemilikan syarikat atau perniagaan; cukai jalan yang masih sah; dan kenderaan terdiri daripada 33 jenis yang layak,” kata KPDN.