Kelestarian dan pemerkasaan sektor pendidikan

- Advertisement -

‘Pendidikan Bertaraf Dunia’ merupakan satu komitmen kerajaan untuk menyediakan akses pendidikan yang berkualiti kepada semua murid Malaysia. Justeru, saban tahun, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerima peruntukan yang besar daripada kerajaan bagi merealisasikan aspirasi pendidikan ini demi menjamin masa depan anak bangsa yang lebih cemerlang.

Penekanan terhadap sektor pendidikan adalah sejajar dengan pengiktirafan terhadap potensinya sebagai satu mekanisme atau tiket bagi mereka yang ingin keluar daripada kancah kemiskinan dan membantu masyarakat untuk bergerak ke arah mobiliti sosioekonomi menegak.

Kesedaran terhadap kepentingan pendidikan berkualiti adalah jelas apabila kompetensi guru Malaysia mendapat perhatian serius melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 menerusi Anjakan Transformasi 4: Mentransformasi profesion keguruan menjadi profesion pilihan.

Dedikasi guru

Berpegang kepada prinsip “Guru berkualiti penjana pendidikan berkualiti” pelbagai inisiatif dan strategi untuk peningkatan kepakaran serta profesionalisme guru telah dilaksanakan. Ini termasuk sekumpulan penyelidik University of Cambridge yang telah menjalankan bancian pendidikan global di sepuluh (10) buah negara iaitu Malaysia, Argentina, China, India, Indonesia, Pakistan, Arab Saudi, Sepanyol, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat bagi menilai tahap kompetensi dan motivasi guru serta murid terhadap pendidikan.

Dapatan kajian menunjukkan guru Malaysia merupakan antara yang paling berdedikasi untuk menjamin kecemerlangan pelajar. Selain itu, kajian tersebut turut mendapati tiga daripada empat guru Malaysia menzahirkan komitmen bagi membantu murid mereka mencapai keputusan terbaik dalam peperiksaan dengan mengadakan kelas tambahan.

Ekuiti pendidikan

Selain penekanan terhadap pendidikan berkualiti, sistem pendidikan Malaysia juga kekal komited untuk memperkukuhkan aspek ekuiti dalam pendidikan. Ekuiti pendidikan merujuk kepada akses peluang pendidikan berkualiti kepada semua murid berasaskan prinsip kesaksamaan dan keadilan.

Sejajar dengan aspirasi pendidikan global yang disasarkan oleh UNESCO Sustainable Development Goals (SDG 4) untuk menjamin pendidikan berkualiti dan ekuiti, KPM melalui Anjakan Transformasi 1 menetapkan dengan jelas sasaran yang perlu dicapai dari segi akses kepada pendidikan berkualiti dan inklusif kepada semua murid di Malaysia.

Sebagai contoh, KPM menyasarkan peningkatan kehadiran murid Orang Asli sehingga 90 peratus pada 2019. Iltizam yang tinggi oleh KPM bagi mencapai enrolmen sejagat dengan menjamin peluang dan akses pendidikan yang adil adalah amat kritikal sebagai satu mekanisme untuk membasmi kemiskinan dan memacu pembangunan negara.

Cabaran COVID-19

Namun begitu, tahun 2020 menyaksikan hampir semua sekolah dan universiti di seluruh dunia terpaksa ditutup bagi mengekang penularan wabak COVID-19. Akibatnya hampir 91 peratus atau sekurang-kurangnya 1.6 billion murid dan belia di seluruh dunia tidak dapat mengikuti pembelajaran seperti biasa.

Situasi ini berkemungkinan meletakkan aspirasi pendidikan global menemui jalan buntu berikutan halangan terhadap akses kepada pendidikan berkualiti yang sekaligus menjejaskan aspek ekuiti dalam pendidikan. Bagi mendepani krisis pendidikan seumpama ini, institusi pendidikan di seluruh dunia digesa dan terpaksa merangka pelan pendidikan berbentuk kecemasan dan spontan.

Untuk perancangan jangka masa pendek, kebanyakkan institusi pendidikan di seluruh dunia memilih untuk melaksanakan pembelajaran atas talian. Menyahut seruan KPM dan Kementerian Pengajian Tinggi bagi mengelakkan sesi pembelajaran tertangguh, semua guru sekolah dan para pensyarah giat menjalankan sesi pengajaran secara atas talian.

Kesungguhan dan kerancakan guru Malaysia menjalankan sesi pengajaran atas talian bagi menjamin kelestarian pengajaran dan pembelajaran terbukti apabila guru Malaysia dinobat di tangga kedua paling aktif di dunia menggunakan aplikasi ‘Google Classroom’. Dalam konteks ini, meskipun pandemik COVID-19 telah menghalang murid daripada mengikuti sesi pembelajaran secara konvensional di sekolah, namun dari sisi positif, pandemik COVID-19 telah memangkin perubahan dan memacu proses pendigitalan pendidikan.

Anjakan baharu atau diskriminasi?

Bagi membantu guru meneruskan proses pengajaran secara atas talian pada skala yang belum diuji dan belum pernah terjadi, KPM telah menyediakan garis panduan pengajaran maya, bahan bantu pengajaran (contohnya buku teks digital, video pengajaran interaktif) serta pelbagai platform pengajaran atas talian dan persidangan video secara percuma (contoh Skype, Zoom, Google Meet dan Microsoft Teams).

Usaha KPM bagi merancakkan pelaksanaan kaedah pengajaran dan pembelajaran secara atas talian sebagai satu norma baharu pendidikan untuk menggantikan interaksi secara berdepan di dalam bilik darjah wajar mendapat pujian.

Namun persoalan yang timbul adalah, adakah proses pengajaran dan pembelajaran secara atas talian merupakan satu-satunya pilihan yang ada bagi menjamin kelangsungan pendidikan di Malaysia? Adakah semua murid Malaysia mempunyai gadjet dan akses internet yang sesuai untuk pembelajaran atas talian dan bagaimanakah nasib murid terpinggir seperti murid Orang Asli, murid daripada keluarga B40, dan murid berkeperluan khas.

Senario ini merupakan realiti rakyat yang harus mendapat perhatian serius pemimpin pendidikan. Harus ditegaskan, sekiranya peluang dan akses pendidikan diambil mudah dan tidak diuruskan dengan baik sehingga wujudnya diskriminasi pendidikan maka jurang ketidakadilan sosial akan semakin melebar.

Kewujudan diskriminasi pendidikan yang menafikan hak murid terpinggir untuk mendapat peluang pendidikan yang sama seperti rakan mereka semata-mata kerana tiada gadjet dan kemudahan internet menyebabkan mereka terperangkap dalam kitaran kemiskinan. Akhirnya yang miskin akan kekal miskin.

Relevansi buku teks

Selain pembelajaran atas talian, salah satu pendekatan pembelajaran yang harus diperkasakan bagi menjamin akses pendidikan berkualiti buat semua murid adalah pendekatan pengajaran dan pembelajaran luar talian berpandukan modul dan kit pembelajaran kendiri yang lengkap.

Syor modul dan kit pembelajaran kendiri yang dicadangkan adalah melangkaui kapasiti semasa buku teks KPM yang berperanan sebagai panduan pengajaran utama. Kebergantungan terhadap buku teks semata-mata dianggap kurang sesuai oleh ramai guru dan murid terutamanya bagi mendapatkan maklumat serta latihan tambahan.

Lambakan buku latihan dan buku aktiviti di pasaran yang bermatlamat untuk melengkapi buku teks merupakan indikator penting terhadap keperluan semakan semula kualiti buku teks. Hal ini adalah kritikal kerana buku teks merupakan rujukan utama buat murid-murid terpinggir dan sekiranya kualiti buku teks gagal mencapai standard yang tinggi maka kualiti pembelajaran murid berkemungkinan terjejas.

Namun begitu, harus ditegaskan, tujuan artikel ini bukanlah untuk mengkritik kualiti buku teks KPM, namun sekadar mencadangkan agar kebergantungan sistem pendidikan negara terhadap proses pengajaran dan pembelajaran secara atas talian harus diimbangi dengan pembelajaran luar talian melalui pembangunan bahan pembelajaran kendiri berkualiti.

Pendekatan pendidikan secara luar talian adalah amat kritikal terutamanya bagi menyokong pembelajaran murid terpinggir yang akan semakin tersisih apabila pembelajaran dilaksanakan secara atas talian sepenuhnya.

Pembangunan bahan pembelajaran luar talian yang merangkumi modul pembelajaran berkualiti yang lengkap dengan informasi serta latihan yang boleh digunakan oleh murid untuk meneruskan pembelajaran mereka secara kendiri, adalah amat wajar dan harus mendapat perhatian ramai pakar dan pemimpin pendidikan serta KPM.

Sepasukan komuniti pakar pendidikan yang terdiri daripada penyelidik pendidikan universiti dan guru cemerlang mestilah ditubuhkan bagi menggerakkan usaha ini agar sistem pendidikan negara lebih bersedia untuk menjamin kelestarian, kualiti dan ekuiti pendidikan bagi mendepani pandemik seumpama ini pada masa depan.

— BERNAMA

Dr Nurfaradilla Mohamad Nasri merupakan Penolong Dekan Hal-Ehwal Pelajar Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat