KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengecam tindakan seorang kakitangannya yang dipercayai membuat hantaran dalam media sosial berunsur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib berkata, pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk pelanggaran prinsip hormat-menghormati, khususnya yang melibatkan Institusi Diraja, agama, bangsa, dan kepimpinan negara.
Katanya, individu terbabit kini sedang disiasat oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“UiTM memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk memastikan siasatan dijalankan secara telus dan berlandaskan undang-undang.
“Kami menyerahkan sepenuhnya kepada PDRM untuk mengambil tindakan sewajarnya. UiTM tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk pelanggaran etika, disiplin, dan perundangan dalam kalangan warganya,” katanya lapor media di Shah Alam pada Isnin.
Media semalam melaporkan polis membuka kertas siasatan ke atas pemilik akaun Facebook yang dilaporkan membuat hantaran berbaur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Sebanyak 10 laporan diterima dengan lelaki itu kini direman selama empat hari untuk siasatan lanjut dan kes ini dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.
Difahamkan, selain mempersenda Institusi Diraja, individu tersebut turut menggunakan kata-kata kesat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mempertikaikan pelantikan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dengan dakwaan tidak berasas yang bersifat fitnah dan berunsur politik.
Shahrin menegaskan, UiTM mengingatkan semua warga universiti agar sentiasa bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial, mematuhi undang-undang negara serta memelihara keharmonian masyarakat dan imej institusi.
“Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi awam yang berteraskan nilai integriti, profesionalisme, dan patriotisme, UiTM bertekad untuk mempertahankan maruah universiti serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana tindakan yang mencemarkan nama baik institusi, Institusi Diraja mahupun negara,” jelasnya.