KUALA LUMPUR – Sekumpulan 12 rakyat Malaysia terdiri daripada kalangan pelajar dan rakyat Malaysia yang berkahwin dengan rakyat Iran dipercayai masih terkandas di Iran dan terpaksa berpindah randah bagi melindungi diri susulan ketegangan memuncak di Iran waktu ini.
Duta Malaysia ke Iran Khairi Omar berkata, perkembangan mereka sentiasa di pantau dan memastikan semua berada dalam keadaan yang baik dan selamat.
“Kita tengok macam mana, kalau keadaan mengizinkan (dan) mereka sendiri memilih untuk keluar (dari Iran), kita akan bantu,” lapor Utusan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, malam tadi.
Mengenai keadaan di Iran, Khairi mendedahkan ramai dalam kalangan rakyat Iran sendiri terkejut dengan konflik yang berlaku begitu drastik dan cepat.
“Selepas sehari dua, kita sudah nampak rutin (serangan) itu macam mana, di sebelah malam serangan antara kedua belah pihak agak intense (sengit) tetapi di sebelah siang pula nampak macam mereka sepakat untuk kurangkan serangan itu.
“Macam kita semua tahu, sasarannya pun dikenal pasti dan kalau serangan itu menyasarkan fasiliti tertentu maka pihak satu lagi juga akan buat perkara yang sama,” katanya.
Berikutan masalah gangguan internet, Khairi berkata hubungan komunikasi di Iran terpaksa menggunakan kaedah lama iaitu SMS (Perkhidmatan Pesanan Ringkas).
“Kita cuba sebaik mungkin sebab di Iran, komunikasi SMS terbuka untuk nombor Iran sendiri, jadi Alhamdulilah di peringkat nasional masih boleh berhubung.
“Cuma kita nak call menggunakan nombor sini (Malaysia) ke Iran, masih tidak dapat sebab roaming ditutup.
“Kalau Iran untuk call keluar alhamdulilah masih boleh, jadi kita guna cara lama yang masih tidak ramai gunakan,” katanya.
Terdahulu seramai 24 individu, terdiri daripada 17 warganegara Malaysia, enam warganegara Iran yang merupakan tanggungan kepada warganegara Malaysia, serta seorang warganegara Singapura, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) melalui penerbangan Malaysia Airlines MH 781 pada 22 Jun 2025, kira-kira jam 11 malam tadi.
Kesemua yang berjaya di evakuasi daripada Iran itu perlu menempuh perjalanan darat sejauh 1,000 kilometer (km) termasuk melalui sempadan Iran-Turkmenistan menaiki penerbangan Turkmenistan Airlines T5 647 dan transit di Bangkok Thailand sebelum menaiki Malaysia Airlines MH 781 untuk pulang ke tanah air.