ECRL: Balik raya Kelantan tak sesak lagi, cipta peluang pekerjaan di Pantai Timur – PM

- Advertisement -

BENTONG – Perkhidmatan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang berkelajuan 160kilometer sejam dijangka akan mengurangkan masa perjalanan ke Kota Bharu, sekali gus perjalanan balik raya orang Kelantan lebih lancar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ECRL juga dihubungkan dengan LRT Kelana Jaya Line di ITT Gombak, sekali gus mengurangkan masa perjalanan ke Kota Bharu, Kelantan kepada empat jam berbanding purata tujuh jam melalui jalan raya atau sehingga 12 jam ketika musim perayaan.

“Dijangka beroperasi pada bulan Januari 2027, ia akan menawarkan jalinan pengangkutan lebih moden, selamat, dan efisien ke Pantai Timur,” ujar Perdana Menteri pada Khamis.

Sehubungan itu, Ismail Sabri meminta Kementerian Pengangkutan (MOT) berbincang dengan pihak berkepentingan bagi merangka kadar tambang perkhidmatan ECRL yang amat berpatutan seperti kadar tambang perkhidmatan KTM ETS yang mesra rakyat.

Kata beliau, jajaran ECRL ini juga dapat menghubungkan dengan perkhidmatan KTMB di tiga buah stesen pertukaran iaitu Temerloh di Pahang, Serendah dan Jalan Kastam di
Selangor.

“Justeru, kemasukan ‘Pintasan Serendah’ sebagai sebahagian dari skop Projek ECRL bagi perkhidmatan KTMB, akan melengkapkan penubuhan hab kargo nasional atau transhipment hub di Serendah.

“Perkhidmatan ECRL dan KTMB juga bakal membentuk jajaran rel bersepadu menghubungkan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Pelabuhan Pulau Pinang;
Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Pelabuhan Kuantan, serta Iskandar Malaysia dan Pelabuhan Tanjung Pelepas di selatan,” jelas beliau.

Kerajaan juga difahamkan bahawa pihak Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) bakal menjana pendapatan sampingan yang dapat menampung kos pengoperasian dan bayaran balik pinjaman pembinaan Projek ECRL dari China EXIM Bank, katanya.

“Sehubungan itu, sebuah syarikat usaha sama dengan nisbah kepentingan 50:50 antara MRL dan China Communications Construction Company (CCCC) sedang dirancang penubuhannya bagi menjayakan pengendalian operasi perkhidmatan ECRL termasuk menanggung kos dan risiko operasi secara bersama.

“Syarikat usaha sama ini bakal menyediakan bantuan teknikal dan memperhebatkan pemindahan teknologi kereta api serta bersama-sama mengendali dan
menyelenggarakan ECRL untuk jangka masa panjang,” kata beliau.

Ismail Sabri juga memberitahu, Projek ECRL ini menyaksikan penglibatan lebih daripada 1,500 buah syarikat tempatan terdiri daripada kontraktor, pembekal dan perunding.

“Ini sejajar dengan persetujuan antara MRL dan CCCC untuk melantik subkontraktor dan pembekal tempatan bagi sekurang-kurangnya 40 peratus daripada kerja-kerja sivil
projek ini yang dianggarkan bernilai sehingga RM10 bilion.

” Setakat bulan April 2022, lebih RM7 bilion nilai kontrak kerja-kerja sivil telah ditawarkan kepada subkontraktor dan pembekal tempatan bagi projek ECRL di negeri-negeri
Pantai Timur.

“Pihak CCCC juga bersetuju memberi perhatian khas kepada pelantikan kontraktor kecil yang bersaiz Gred G1- G3 bagi memberi manfaat langsung kepada mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga memaklumkan sebuah ‘Jawatankuasa Khas Penyertaan Kontraktor Tempatan dan Bumiputera Projek ECRL’ telah ditubuhkan bagi memantau dan memastikan penyertaan efektif syarikat-syarikat tempatan yang berkelayakan.

Kata beliau lagi, Projek ECRL ini berpotensi melahirkan lebih ramai warga tempatan yang berkemahiran dalam bidang industri rel melalui Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKIECRL).

“Oleh itu warga tempatan disarankan supaya merebut peluang menjalani program latihan teknikal PLKI-ECRL yang dijangka membuka peluang pekerjaan kepada 5,000
anak muda dari Pantai Timur.

“Seramai 1,800 pelatih akan diserapkan bagi fasa pembinaan ECRL dan baki 3,200 pelatih untuk fasa pengendalian operasi.

“Justeru, Kerajaan yakin PLKI-ECRL yang dilaksanakan bersama-sama rakan kongsi seperti Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN), Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP), akan berjaya melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang rel.

“Keyakinan ini disokong oleh sasaran keperluan 23,000 tenaga kerja semasa tempoh puncak pembinaan projek yang dijangka bermula pada tahun 2023,” jelas Perdana Menteri.

Ujar beliau lagi, Projek ECRL ini merupakan antara elemen penting yang akan menyempurnakan sektor pengangkutan negara dan seterusnya memberi keselesaan kepada Keluarga Malaysia.

Beliau juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor atas sokongan dan kerjasama erat dalam membangunkan Projek ECRL ini.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat