Pengunjung teruja dengan ‘Anjung Spotter’ kapal terbang terbuka

- Advertisement -

Rata-rata pengunjung teruja apabila buat pertama kalinya dapat melihat sendiri segala aktiviti dan pergerakan pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas dibuka kepada orang ramai sejak 17 Jun lalu.

“Anjung Spotter” yang dibina sejak Mac lalu, boleh memuatkan 40 orang dalam satu-satu masa bagi merakamkan saat pesawat berlepas dan mendarat di KLIA.

Dan ia mula mendapat tumpuan orang ramai selepas dihebahkan di semua media.

Seorang jurugambar bebas yang hanya mahu dikenali sebagai Wong berkata sudah tentu “Anjung Spotter” pertama di Malaysia ini menjadi tumpuan kepada peminat kapal terbang sepertinya.

Wong, 47, yang sudah menceburi bidang jurugambar selama 15 tahun berkata Anjung Spotter menjadi tarikan peminat aktiviti permerhatian pesawat.

“Bagus juga kerajaan buat platform ini. Sebab sebagai jurugambar kita boleh dapat ‘angle’ gambar yang bagus.

“Ini kali kedua saya pergi dan dapat lihat hari minggu lebih ramai pengunjung datang berbanding hari biasa,” katanya kepada FMT.

Pada 17 Jun lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports Holding Bhd (MAHB) Raja Azmi Raja Nazuddin berkata pihaknya merancang menjadikan Anjung Spotter sebagai satu destinasi wajib dikunjungi pelancong yang tiba di KLIA.

Anjung Spotter dibina dalam lingkungan 10 kilometer persegi di KLIA itu bagi membolehkan orang ramai merakamkan gambar saat pesawat berlepas dan mendarat dari kawasan yang strategik.

Peminat aktiviti pemerhatian pesawat dan penerbangan, kini mempunyai lokasi terbaik bagi melihat pesawat yang mendarat melalui Landasan 32 Kiri, yang terletak di Jalan Pekeliling, daripada dek tersebut.

Raja Azmi berkata, MAHB berharap Anjung Spotter akan menjadi tarikan pelancong yang terkenal seperti yang ada di Perth, Australia; Frankfurt, Jerman dan Lapangan Terbang Antarabangsa Raleigh-Durham di Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, Wong berkata Anjung Spotter ini lebih selamat dan lebih khusus untuk jurugambar sepertinya mengambil gambar-gambar jenis kapal terbang yang diminatinya.

“Macam saya peminat kapal terbang sudah tentu gembira dapat mengambil gambar berlatar belakangkan terminal KLIA.

“Saya juga ke sini untuk melihat model baru kapal terbang,” katanya.

Sementara itu, Rozman Nizam Abdullah, 29, sanggup datang ke Anjung Spotter walaupun jarak dari rumahnya di Puchong mengambil masa 1 jam setengah.

Rozman yang bekerja sebagai Juruteknik Rapid Kuala Lumpur berkata sangat teruja datang pertama kali bersama keluarganya.

“Saya bersama isteri dan 3 orang anak datang ke sini ingin melihat kapal terbang berlepas dan mendarat.

“Sangat teruja, bila anak-anak saya suka datang ke sini. Dulu datang dan letak kenderaan di tepi jalan. Kali ini lebih selamat dan spesifik,” katanya.

Rozman berkata Anjung Spotter ini lebih selamat dan tidak bimbang untuk membawa anak-anak melihat kapal terbang.

“Ada bumbung dan kawasan lapang selamat sikit.

“Saya rasa perlu tambah lagi platform seperti Anjung Spotter ini dan perluaskan lagi sebab kalau hujung minggu kalau ramai tidak muat,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Mohd Qazreen Hakim Yusof, 28, sanggup singgah di Anjung Spotter selepas balik kerja semata-mata untuk melihat pemandangan kapal terbang.

Qazreen yang bekerja sebagai, Kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata jika ada kerja di luar kawasan seperti berhampiran di KLIA beliau akan singgah sebelum pulang ke rumah.

“Saya dapat tahu dari surat khabar.

Anjung Spotter menarik sebab dapat lihat kapal terbang berlepas

“Sebelum ini cari juga tempat macam ini tetapi tak tahu belah mana. Sekarang sudah tahu, akan datang lagi,” katanya.

freeMalaysiaToday

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat