KUALA LUMPUR- Tindakan kerajaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes penggunaan kalimah ‘Allah’ bertujuan mengelak sebarang keputusan dibuat berterusan bercanggah dengan apa yang diputuskan Majlis Raja-Raja Melayu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, penarikan rayuan itu memberi ruang kepada kerajaan untuk menambah baik semua aspek, malah ia juga selaras pandangan serta nasihat Peguam Negara.
“Peguam negara berpendapat rayuan (terhadap keputusan Mahkamah Tinggi) bertentangan dengan (keputusan berkaitan kalimah Allah yang dibuat) Majlis Raja-Raja Melayu. Peguam Negara (juga berpendapat) kes lemah kerana peraturan dibuat KDN (Kementerian Dalam Negeri).
“Justeru, keputusan dibuat atas pandangan untuk perkemas. (Jika) kita buat (teruskan rayuan) kes (akan) bangkit lagi (di mahkamah kerana kes lemah).
“(Jadi) kita tamatkan dengan pinda supaya tak ada kes lagi. Ini jelas satu kekuatan, apa (yang) lemahnya,” katanya lapor BH.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Terdahulu, Takiyuddin meminta Perdana Menteri memperjelas rasional di sebalik tindakan kerajaan menarik balik rayuan kes kerana berpendapat tiada salahnya ia diteruskan memandangkan kes akan diadili tiga hakim di Mahkamah Rayuan berbanding hanya seorang di Mahkamah Tinggi.
Anwar sebelum ini mengumumkan Kabinet mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah untuk mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah ‘Allah’ kepada Majlis Raja-Raja bagi menyelesaikan isu terbabit secara menyeluruh dan bersepadu.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.
Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill, yang memohon perisytiharan mengenai hak Perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.
Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 18 April lalu.
Terdahulu ketika menjawab soalan asal Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai), Perdana Menteri mengesahkan penarikan balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dengan baginda memberi pandangan supaya semua keputusan harus terikat dengan keputusan dibuat Majlis Raja-Raja Melayu.