KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dinasihatkan agar berjiwa besar dan meminta maaf kepada rakyat Malaysia susulan prestasi corot Kontinjen Malaysia di Sukan Sea Kemboja.
Menurut bekas pendahulunya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sewajarnya Hannah tidak mengaitkan isu kestabilan politik dengan prestasi buruk di Sukan Sea.
Beliau sebaliknya menasihatkan Hannah supaya melakukan perubahan drastik dalam badan sukan utama seperti yang dilakukannya sewaktu mengemudi kementerian itu.
“Menteri (Hannah) kena berjiwa besar sikitlah sebab sukan adalah isu yang emotif mengundang emosi pelbagai di kalangan rakyat sebab kita ada semangat patriotisme yang tinggi kita nak lihat atlet berjaya.
“Menteri sepatutnya jangan keluar kenyataan seperti itu,” nasihat Khairy.
Mengulas lanjut, beliau yang pernah menerajui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada 2013 menceritakan bagaimana kontinjen Malaysia menunjukkan prestasi kurang memberangsangkan pada Sukan Komanwel 2014 dan Sukan Asia 2014, setahun selepas beliau menjadi menteri.
“Kedua-dua sukan ini kita tidak mencapai sasaran (pingat). Pada masa itu, saya boleh kata saya menteri baru, baru setahun, sebab itu sasaran tidak tercapai. Tetapi, saya telah memiliki kegagalan dan memohon maaf.
“Saya memutuskan untuk tukar ketua pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) kerana saya merasakan dia sudah terlalu lama di sana. Ia keputusan sukar untuk menukar ketua pengarah MSN,” katanya dalam siaran podcast Keluar Sekejap malam tadi.
Pun begitu, ujar Khairy lagi beliau memahami alasan Hannah mengatakan perubahan dalam kerajaan beberapa tahun kebelakangan ini menyumbang kegagalan kutipan pingat, sambil mengakui terdapat perubahan menteri dan dasar untuk sukan.
Bagaimanapun, Khairy berkata, adalah “tidak enak” dengan hanya meletakkannya pada ketidakstabilan politik.
Sementara itu, bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan, bersetuju dan menyatakan rakyat Malaysia akan menyebelahi menteri jika beliau “berjiwa besar menanggung kegagalan”.
“Orang ramai akan faham. Anda telah menjadi menteri selama enam hingga lapan bulan. Tetapi tidak masuk akal untuk anda mengemukakan alasan ini,” katanya.- Suara.TV