Dah Tahu Seteru Politik PAS, Dekat PRN Kalimah Allah Pasti Jadi Modal Politik – Khairy

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia telah menarik balik rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka terus dikritik.

Bekas menteri Kabinet, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengingatkan sekiranya KDN dan Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memasang antena politik semestinya akan sedar bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) akan berlangsung dalam masa terdekat malah seteru politik Kerajaan Perpaduan ialah Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai Parti Islam Semalaysia (PAS).

“Bagi saya jalan cermat sebagai kerajaan ataupun menteri lebih-lebih lagi bila kita tahu memang isu ini akan digunakan ialah dengan membiarkan badan kehakiman membuat interpretasi undang-undang.

“Kalau kita memang pasang antena politik, kita sebagai menteri atau spesifiknya Menteri Dalam Negeri dan kita tahu bahawa beberapa bulan lagi akan ada PRN, bukan saya kata semua benda patut dipolitikkan tapi ‘we live in the political world, this is the political round’.

“Jadi dia (Saifuddin) tahu bahawa akan ada PRN dan seteru utama dalam PRN adalah Parti Islam Semalaysia (PAS) dan apabila dia tarik rayuan tersebut dengan apa pun alasan yang diberi mesti perkara ini akan dipolitikkan dan kita lihat tak sampai beberapa hari Ketua Pembangkang (Datuk Seri Hamzah Zainudin) dan juga Pengerusi PN (Tan Sri Muhyiddin Yassin) serta PAS telah pun bangkitkan isu ini,” katanya dalam siaran podcast Keluar Sekejap, malam tadi.

Justeru kata Khairy tindakan KDN itu agak mengejutkan dari segi keputusan politik.

Hal demikian beliau mencadangkan agar kerajaan dan KDN membuat penjelasan lebih lanjut dan teliti di Dewan Rakyat yang sedang bersidang dan isu kalimah Allah itu wajar dibincang dengan penuh empati.

Dalam perkembangan sama, Khairy memuji keberanian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tampil menjawab ‘kemarahan’ umat Islam di negara ini sedangkan katanya, adalah sewajarnya Saifuddin selaku Menteri KDN ke depan menjelaskan keputusan yang diputuskan kementeriannya.

“Bila isu ini (kalimah Allah) meletup saya bagi kredit kepada Perdana Menteri sebab saya nampak tidak ada menteri lain yang nak jawab isu ini termasuk Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin.

“Perdana Menteri sendiri kena jawab dan saya rasa sebagai bekas menteri, saya agak tidak puas hati. Sebab menteri patut jadi perisai utama kepada Perdana Menteri lebih-lebih apabila keputusan itu datang daripada kementerian dia sendiri tapi Perdana Menteri juga terpaksa buat kenyataan.

“Anwar nak kurangkan kemarahan orang Islam, beliau kata hanya penganut Kristian di Sarawak dibenarkan guna kalimah Allah berdasarkan keputusan ini tetapi perkara ini tidak betul, bila kita baca penghakiman ini ia diaplikasi seluruh negara.

“Apa yang Perdana Menteri sebut, saya faham dia nak meredakan kemarahan. Beliau merujuk kepada satu kompromi ia timbulkan kekeliruan,” ujarnya.- Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat